
TEHRAN, 12 Ogos (Bernama-IRNA) -- Selat Hormuz di Teluk Parsi hanya akan dibuka semula sepenuhnya sekiranya Amerika Syarikat (AS) menerima syarat yang ditetapkan Iran, kata pegawai keselamatan tertinggi negara itu.
Agensi Berita Republik Islam (IRNA) melaporkan, Iran mengenakan sekatan terhadap transit di selat berkenaan sejak awal Mac susulan serangan AS-Israel terhadap negara itu.
Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi (SNSC) yang baharu dilantik, Mohsen Rezaei berkata AS perlu menamatkan perang terhadap Iran dan sekutu serantaunya serta membebaskan dana Iran yang disekat sebelum Selat Hormuz dibuka semula sepenuhnya.
Beliau berkata demikian dalam pertemuan dengan Duta China ke Tehran, Zong Piyu pada Selasa.
Baca juga:
Kebakaran Hutan Di Indonesia Cecah 107,000 Hektar, Puluhan Sekolah Ditutup
Sukar Dipercayai, 7 Gurun Ini Pernah Hijau Dan Dipenuhi Tasik
“Selagi AS tidak mengubah tindakannya dan menerima syarat Iran, Selat Hormuz tidak akan dibuka semula,” kata Rezaei.
Beliau berkata Iran turut menyampaikan beberapa syarat lain kepada AS menerusi pihak pengantara yang terlibat dalam rundingan tidak langsung antara kedua-dua pihak sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Rezaei menegaskan bahawa sekiranya Iran dan Oman, sebuah lagi negara pesisir Selat Hormuz, mencapai persetujuan mengenai laluan transit di perairan itu, ia tidak akan mempengaruhi keputusan Iran sama ada untuk menutup atau membuka semula selat berkenaan.
Dalam pertemuan dengan duta China itu, Rezaei menyifatkan keputusan Beijing menentang satu draf resolusi yang dianggap “anti-Iran dan menyalahi undang-undang” yang dibentangkan di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semasa perang AS-Israel terhadap Iran pada Mac sebagai “langkah positif”.
Beliau turut memuji perkongsian strategik antara Iran dan China serta keanggotaan kedua-dua negara dalam organisasi antarabangsa utama seperti Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) dan BRICS.
Menurut Rezaei, perkongsian itu berpotensi menjadi pemangkin penting kepada pembangunan hubungan dua hala pada masa depan.



