SHAH ALAM - Keengganan Singapura untuk terlibat dalam rundingan dengan Iran berhubung laluan selamat melalui Selat Hormuz disifatkan sebagai sesuatu yang amat dikesali.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakya (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, pendirian itu mencerminkan pendekatan strategik sempit dengan mengutamakan penjajaran berbanding tanggungjawab serantau serta undang-undang antarabangsa.
"Iran mengawal selat tersebut sebagai usaha untuk mencapai keamanan yang berkekalan.
"Malaysia secara konsisten berpegang kepada prinsip bahawa diplomasi mesti dilaksanakan, bukan ditinggalkan.
"Penglibatan Perdana Menteri, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dalam isu ini berteraskan usaha untuk memastikan kestabilan serantau, keselamatan tenaga dan kepentingan lebih luas Asia Tenggara," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ia susulan kenyataan Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan sebelum ini yang menegaskan, Republik itu tidak mahu berunding berhubung laluan selamat di Selat Hormuz atas dasar prinsip.
Beliau dilapor berkata, tindakan tersebut secara tersirat akan menghakis prinsip perundangan di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS), yang mana Singapura merupakan salah satu negara yang tandatangan.
Dalam pada itu Nurul Izzah menegaskan, sukar untuk mengabaikan maksud tersirat dalam pendirian Balakrishnan.
"Pendirian beliau dilihat kurang mencerminkan sikap berkecuali, sebaliknya mengulangi keutamaan strategik kuasa luar yang tidak selari dengan kepentingan rantau ini.
"Balakrishnan berhak dengan pendiriannya, namun beliau juga harus mengakui bahawa persetujuan secara senyap terhadap naratif kuasa besar dan entiti bersifat genosid bukanlah sama dengan prinsip berkecuali.
'"Penjajaran sedemikian berisiko menghakis komitmen lama ASEAN terhadap diplomasi yang bebas dan seimbang," ujarnya.
Nurul Izzah berkata, Malaysia akan terus mengamalkan pendekatan diplomasi dengan jelas, tegas dan bebas.
"Sejarah telah menunjukkan bahawa menjauhkan diri hanya mengundang peningkatan ketegangan, bukannya kestabilan.
"Kami memilih untuk bertindak kerana kepimpinan menuntut lebih daripada sekadar mengambil jarak berhati-hati," ujarnya.

