Usaha gigih guru setegang Selat Hormuz pacu kejayaan murid SPM 2025

31 Mar 2026 • 3:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Azam. Foto: Bernama

PUTRAJAYA – Usaha berterusan guru yang disifatkan setegang Selat Hormuz menjadi antara faktor utama membentuk daya tahan murid sehingga berjaya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Berucap pada sidang akhbar Pengumuman Keputusan SPM 2025, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, majlis tersebut membawa perhatian semua pihak terhadap nirmala kata berdaya tahan, jurang dan intervensi.

Beliau menjelaskan, calon SPM 2025 melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang panjang serta berkesinambungan bermula dari prasekolah, diikuti enam tahun sekolah rendah dan lima tahun di peringkat menengah.

“Proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dilalui selama 11 atau 12 tahun penuh dengan cabaran. Berkat semangat guru yang tidak pernah jemu untuk merangka pelbagai intervensi demi membangunkan potensi anak murid, akhirnya murid yang diasuh dan dididik dalam bilik darjah mampu melangkah dengan daya ketahanan diri yang tinggi sehingga berjaya menduduki peperiksaan SPM 2025,” katanya di sini pada Selasa.

Menurut beliau, inisiatif yang dilaksanakan tidak hanya bergantung kepada komitmen tenaga pengajar semata-mata, sebaliknya turut disokong pelbagai pihak dalam ekosistem pendidikan negara.

“Sesungguhnya, inisiatif yang menjadi intervensi itu tidak hanya terhad pada daya usaha gigih guru setegang Selat Hormuz, tetapi turut mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak walaupun harapan setinggi Gunung Kilimanjaro, iaitu Bahagian KPM, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, ibu bapa, komuniti serta agensi kerajaan dan swasta,” ujarnya.

Tambah beliau, gabungan kerjasama tersebut menjadi ramuan penting dalam menjayakan pelbagai inisiatif bagi membangunkan potensi murid agar lahir sebagai insan berdaya tahan.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan memberi jaminan bahawa tiada murid akan tercicir daripada akses pendidikan, khususnya melibatkan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar.

“Kementerian Pendidikan sedar bahawa tiada seorang pun murid yang harus tercicir dalam akses pendidikan. Justeru, usaha digembleng bagi memastikan jurang antara bandar dan luar bandar dalam prakarsa pendidikan sentiasa dirapatkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata, langkah tersebut dilaksanakan menerusi pembangunan infrastruktur menyeluruh, penempatan guru berkualiti serta pelaksanaan program intervensi secara saksama.

Menurutnya, semua strategi itu dirangka bagi memastikan mutu, akses dan ekuiti pendidikan kekal seimbang, sekali gus memperkasa sistem pendidikan negara secara menyeluruh.

“KPM akan terus istiqamah dalam usaha pendidikan untuk melihat jurang pendidikan antara murid atau sekolah di bandar dan luar bandar terus mengecil,” katanya.