amree06/05/2026 - 11:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Mei — Ketegangan geopolitik global yang semakin memuncak, khususnya di Selat Hormuz, kini mencetuskan kebimbangan baharu terhadap keselamatan laluan perdagangan utama dunia.
Bagaimanapun, Selat Melaka, yang merupakan nadi perdagangan global merangkumi hampir satu perempat aliran maritim dunia, dilihat kekal stabil dan masih berdaya tahan, menurut analisis TA Securities.
Firma penyelidikan itu menegaskan, selat tersebut beroperasi dalam kerangka peraturan antarabangsa dan membezakannya secara asas daripada Selat Hormuz yang lebih terdedah kepada tekanan geopolitik.
"Di bawah prinsip 'transit passage', tiada mana-mana negara yang boleh menyekat atau mengenakan sebarang bayaran tol ke atas kapal-kapal yang perlu melalui Selat Melaka," katanya dalam nota.
Tambah TA Securities, selat sepanjang kira-kira 900 kilometer yang menghubungkan Lautan Hindi dan Laut China Selatan itu menjadi laluan paling efisien bagi perdagangan antara benua Eropah, serta Asia.
Jelas firma penyelidikan berkenaan, sepanjang tahun lepas sahaja, sejumlah lebih 102,000 buah kapal dicatatkan melalui selat itu, menyumbang sekitar 22% daripada perdagangan maritim global.
Kepentingannya lebih terserlah dalam sektor tenaga apabila muncul sebagai 'titik' terbesar, dengan aliran sekitar 23.2 juta tong sehari, iaitu hampir 29% daripada perdagangan minyak laut dunia.
Permintaan yang amat tinggi itu kata TA Securities, didorong terutamanya oleh faktor ekonomi rantau Asia Timur, dengan China sahaja merangkumi hampir separuh daripada jumlah import minyak.
"Walaupun wujud kebimbangan susulan peningkatan kerjasama pertahanan Indonesia-Amerika Syarikat (AS) serta cadangan mengenakan levi ke atas kapal, risiko gangguan kekal rendah," tegasnya.

Ini kerana pengurusan selat ini melibatkan kerjasama rapat antara Malaysia, Indonesia dan Singapura, menjadikannya sebagai laluan berasaskan peraturan dan pengurusan pelbagai negara.
Bagaimanapun ujar TA Securities, cabaran utama Selat Melaka lebih bersifat operasi berbanding geopolitik, kerana laluan sempit di beberapa bahagian kritikal hanya sekitar 2.7 kilometer lebar.
Keadaan itu tambahnya, meningkatkan risiko kesesakan dan kemalangan maritim yang boleh menjejaskan rantaian bekalan global, namun dari sudut ekonomi Malaysia, kestabilan Selat Melaka ada kelebihan.
"Ia strategik sebagai pemain penting ekosistem perdagangan dan logistik serantau, dengan Pelabuhan Klang dan Tanjung Pelepas dijangka terus meraih manfaat daripada aliran trafik tinggi," jelasnya.
Pada masa sama kata TA Securities, perkembangan projek infrastruktur seperti cadangan jambatan darat Thailand, menghubungkan Laut Andaman dan Teluk Thailand boleh mengubah landskap logistik.
Ujar firma penyelidikan berkenaan, dalam tempoh jangka panjang, projek mega tersebut dijangka mampu mengurangkan masa transit sehingga empat hari dan kos logistik sebanyak 10% hingga 15%.
Walaupun impaknya dalam tempoh terdekat dijangka terhad, ia berpandangan projek itu mewujudkan persaingan baharu kepada hab pelabuhan Malaysia, di samping membuka peluang limpahan ekonomi.
"Secara keseluruhan, Selat Melaka kekal sebagai nadi perdagangan global kritikal, disokong oleh kelebihan geografi, kecekapan kos serta rangka kerja perundangan," katanya. - DagangNews.com


