amree06/05/2026 - 11:55 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Mei — Keputusan Sunview Group Berhad melupuskan pegangan kira-kira 22.4% dalam Winstar Capital Berhad baru-baru ini mencetuskan persoalan kepada pelaburnya, menurut TA Securities.
Firma penyelidikan tersebut dalam nota analisisnya berpandangan langkah ini dinilai sama ada sebagai strategi pengukuhan kewangan atau berisiko menjejaskan aliran pendapatannya bagi jangka pendek.
Tambahnya, kumpulan berkenaan menjual pada harga minimum 43 sen sesaham, iaitu diskaun sekitar 22% daripada harga penutup terakhir, berdasarkan kepada nilai bawaan hanya RM23.1 juta setakat FY25.
"Pelupusan ini bertujuan menjana keuntungan pelaburan serta modal diagih ke dalam perniagaan teras Sunview iaitu kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC)," kata TA Securities.
Kumpulan itu dijangka mencatatkan keuntungan sekali sahaja sebanyak RM6.8 juta dan hasil jualan dianggarkan RM30.1 juta, dengan kira-kira 60% akan digunakan sebagai modal kerja bagi projek EPCC.
Selebihnya pula ujar firma tersebut, mengurangkan hutang sedia ada, yang dijangka menjimatkan kos kewangan sekitar RM0.5 juta setahun, selain menambah baik kedudukan imbangan kira-kira syarikat.
Nisbah gear bersih Sunview jelas TA Securities, dijangka susut kepada 1.07 kali berbanding 1.26 kali sebelum ini, namun ia mengingatkan pelupusan itu menyebabkan kehilangan sumbangan keuntungan.

"Syarikat bersekutu berpengalaman seperti Winstar, dianggarkan menjana sekitar RM2 juta setahun atau 41% daripada unjuran keuntungan bersih pada FY26 dan ini mewujudkan jurang hasil," katanya.
Bagaimanapun firma penyelidikan tersebut melihat masih lagi terdapat potensi penggantian daripada dua aset solar baharu yang sedang diusahakan kumpulan itu, termasuk satu yang sudah beroperasi.
Sunview kini ujar TA Securities, dalam proses memperoleh dua loji solar berskala besar (LSS) dengan kapasiti keseluruhan 100MW, melibatkan nilai pelaburan antara RM175 juta hingga RM245 juta.
Selain itu, kumpulan tersebut turut memperoleh kontrak EPCC bernilai RM1.96 bilion bagi projek loji solar terapung berkapasiti 595MWac milik Tenaga Nasional Berhad di Tasik Kenyir, Terengganu.
"Kami menilai positif terhadap langkah pelupusan ini kerana ada fleksibiliti kewangan dan kapasiti pembiayaan untuk projek baharu, meskipun beri kesan jangka pendek terhadap hasil," jelasnya.
Justeru TA Securities mengekalkan saranan 'pegang' terhadap saham Sunview dan harga sasaran tidak berubah 39.5 sen, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 18 kali. - DagangNews.com






