
LUAR NEGARA – Tular di media sosial satu video memaparkan sekumpulan wanita bertindak melemparkan selendang ke arah jemaah lelaki ketika berada di dalam sebuah masjid di Turkiye, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dan persoalan dalam kalangan netizen.
Menerusi satu perkongsian di Threads, seorang individu memuat naik video tular memaparkan sekumpulan wanita di Masjid Al-Fatih, Istanbul yang dilihat melemparkan selendang ke arah jemaah lelaki.
Menurut kapsyen yang dikongsikan, tindakan itu didakwa sebagai simbolik kekecewaan dan kesedihan terhadap ketidakmampuan mempertahankan Masjid Al-Aqsa yang dikatakan ditutup sepanjang Ramadan hingga Aidilfitri.
Perkongsian tersebut turut mengaitkan aksi berkenaan dengan kisah sejarah pada zaman Salahuddin Al-Ayyubi, di mana wanita dikatakan pernah melemparkan selendang sebagai tanda protes agar pembebasan Baitul Maqdis disegerakan.
Diceritakan, sebelum pembebasan Baitul Maqdis, pernah berlaku aksi serupa di Masjid Agung Diyarbakir apabila golongan wanita melemparkan selendang kepada Salahuddin sambil menyindir ketidakmampuan mempertahankan kota suci itu, satu peristiwa yang dikatakan menguatkan lagi azam beliau.
Namun begitu, kisah sejarah ini tidak mempunyai kesahihan yang jelas dan tidak disokong oleh sumber sejarah utama.
Aksi simbolik atau salah tafsir?
Dalam masa sama, satu lagi perkongsian di Instagram mendakwa insiden di Masjid Al-Fatih berlaku ketika solat Tarawih, sebagai tanda protes berhubung isu Al-Aqsa, selain membawa maksud simbolik bahawa masjid tersebut memerlukan “lelaki sebenar” untuk mempertahankannya.
Difahamkan, dalam budaya tertentu di Turkiye, tindakan wanita meletakkan atau melemparkan selendang di hadapan lelaki boleh dianggap sebagai satu simbol maruah, seolah-olah menyerahkan kehormatan kepada lelaki untuk dipelihara.
Namun begitu, kesahihan kaitan sejarah serta maksud sebenar tindakan dalam video tersebut masih belum dapat dipastikan secara rasmi.
Seorang pengguna yang pernah berkunjung ke masjid tersebut turut berkongsi pengalamannya menziarahi Mehmed II pada tahun 2024, sambil berharap semangat keberanian generasi terdahulu di Turki terus kekal dalam mempertahankan agama.
Dalam masa sama, ada juga yang meluahkan rasa malu sebagai lelaki Muslim kerana merasakan diri tidak mampu mempertahankan Baitul Maqdis, malah mengakui lebih sibuk dengan hal remeh seperti persiapan kuih raya menjelang Aidilfitri.
Setakat ini, video berkenaan terus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, ada yang melihatnya sebagai simbolik perjuangan, tidak kurang juga yang mempersoalkan kesahihan naratif yang dikaitkan. – The Malaysian Update
The post “Selendang Terbang Di Masjid Al-Fatih… Simbolik Atau Sekadar Salah Faham?” appeared first on The Malaysian Update.




