
JOHOR BAHRU – Selepas 17 hari terlantar akibat diserang dan digigit sekumpulan anjing liar, kanak-kanak, Nur Haira Wafiqah Muhammad Hamizi, 2, kini menunjukkan perkembangan positif apabila sudah mampu berjalan.
Namun, ibunya, Nur Wahyuni Harun, 36, berkata, keadaan anaknya masih belum pulih sepenuhnya apabila pergerakan Haira kelihatan terhuyung-hayang dan badannya masih menggigil ketika cuba berjalan.
“Nur Haira perlu dipapah dan dipantau bagi memastikan dia tidak terjatuh ketika bergerak. Alhamdulillah, Nur Haira sudah boleh berjalan selepas 17 hari terlantar tetapi keadaannya masih belum stabil.
“Badannya masih menggigil dan apabila berjalan dia terhuyung-hayang. Dia masih susah untuk bergerak dan perlu dibantu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Nur Wahyuni berkata, selain proses pemulihan fizikal, anaknya juga dijadual menjalani pembedahan pada bahagian kepala minggu ini.
Katanya, pembedahan berkenaan merupakan sebahagian daripada rawatan susulan bagi merawat kecederaan yang dialami Nur Haira selepas diserang anjing.
“Nur Haira akan menjalani pembedahan pada bahagian kepala minggu ini. Pembedahan untuk selamatkan selaput kulit kepala bagi selamatkan tempurung kepala.
“Pembedahan ini dilakukan untuk melancarkan aliran darah pada bahagian cedera tersebut, kalau tidak buat, tempurung kepala akan kering dan akan jadi mudah rapuh.
“Buat masa ini kami hanya menunggu perkembangan daripada pihak doktor. Keluarga berharap pembedahan itu berjalan lancar dan keadaan Nur Haira terus menunjukkan perkembangan positif selepas rawatan tersebut,” katanya.
Kosmo! melaporkan, dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi pada 5 September lalu, Nur Haira diserang lima ekor anjing ketika berada di rumah neneknya di Kampung Tambak, Sungai Kelambu, Peserai, Batu Pahat.
The post Selepas 17 hari terlantar, Nur Haira sudah mampu berjalan appeared first on Kosmo Online.






