Selepas 24 Tahun Dipenjara, Banduan Terima Perkenan Menghadap Sultan Selangor

LocalPolitics
4 Feb 2026 • 6:14 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

SHAH ALAM - Bekas banduan yang juga graduan pertama di Malaysia memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) semasa menjalani hukuman penjara, Dr. Malik Yatam menerima perkenan menghadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pertemuan yang berlangsung hampir sejam itu diadakan dalam suasana hening dan penuh emosi.

Ia adalah pertemuan pertama seumpamanya antara Sultan Selangor dengan seorang bekas banduan yang pernah menerima pengampunan penuh daripada baginda.

Malik merupakan individu yang diberikan pengampunan penuh oleh Sultan Selangor sempena Hari Keputeraan baginda pada 2024, selepas menjalani hukuman Tahanan Limpah Sultan (LTS) selama 24 tahun.

Beliau mula menjalani hukuman pada tahun 2001 ketika berusia 14 tahun dan terlepas daripada hukuman mati kerana masih berusia di bawah 18 tahun ketika kesalahan dilakukan.

Malik yang kini berusia 39 tahun dibebaskan pada 11 Disember 2024.

Namanya mula menjadi sebutan apabila muncul sebagai penerima ijazah PhD dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan ketika masih bergelar banduan di Penjara Kajang.

Pada pertemuan bersama baginda semalam, Sultan Sharafuddin berkenan bertanyakan khabar mengenai perkembangan kehidupan Malik selepas dibebaskan, serta perancangan beliau untuk masa hadapan.

Baginda dilaporkan amat terharu dengan perjalanan hidup Malik dan bertitah, lelaki itu wajar diberikan peluang kedua untuk membina kehidupan baharu dalam masyarakat.

Menurut sumber, pengampunan penuh dikurniakan sebelum ini telah dipertimbangkan secara menyeluruh oleh baginda selepas semua faktor berkaitan disembah maklum dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Selangor yang bersidang pada 24 November 2024.

Baginda turut menasihatkan Malik agar sentiasa menjaga nama baik keluarga, kekal bersemangat dalam memperbaiki taraf hidup.

Titah baginda, pengalaman lalu perlu dijadikan sebagai pengajaran untuk terus menyumbang secara positif kepada masyarakat dan negara. - Getaran, 4 Februari 2026