Sultan Selangor Terima Menghadap Bekas Banduan Raih PhD, Pertemuan Penuh Emosi Undang Sebak

LocalPolitics
4 Feb 2026 • 6:25 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

SHAH ALAM – Suasana hening dan menyentuh hati menyelubungi satu pertemuan istimewa apabila Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap bekas banduan pertama di Malaysia yang berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) ketika menjalani hukuman penjara, Dr. Malik Yatam.

Menurut Selangor Royal Office, Dr. Malik sebelum ini telah dikurniakan pengampunan penuh oleh Baginda sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor pada tahun 2024.

Pertemuan hampir sejam itu disifatkan berlangsung dalam suasana pilu dan penuh emosi, malah menjadi detik bersejarah kerana ia merupakan kali pertama Baginda menerima menghadap seorang bekas banduan yang mendapat pengampunan diraja.

Dr. Malik sebelum ini menjalani hukuman Tahanan Limpah Sultan (LTS) selama 24 tahun, satu hukuman tanpa tarikh pembebasan. Beliau tidak dikenakan hukuman mati kerana ketika kesalahan dilakukan, usianya masih di bawah 18 tahun.

Beliau mula dipenjarakan pada tahun 2001 ketika berusia 14 tahun sebelum akhirnya dibebaskan pada 11 Disember 2024 pada usia 39 tahun.

Bangkit Dari Penjara, Genggam PhD Jadi Bukti Peluang Kedua

Lebih mengagumkan, sepanjang menjalani hukuman di Penjara Kajang, Dr. Malik tidak mensia-siakan masa apabila menyambung pelajaran sehingga berjaya menamatkan pengajian peringkat PhD dalam bidang pentadbiran perniagaan.

Dalam sesi menghadap itu, Baginda turut bertanya khabar mengenai kehidupan Dr. Malik selepas dibebaskan serta perancangannya untuk masa depan.

Baginda dizahirkan amat tersentuh dengan perjalanan hidup beliau dan berpandangan Dr. Malik wajar diberikan peluang kedua untuk membina kehidupan baharu.

Pengampunan tersebut dipertimbangkan secara menyeluruh selepas semua faktor dibentangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 24 November 2024.

Pada masa sama, Baginda turut menitipkan nasihat agar Dr. Malik terus menjaga nama baik keluarga, kekal bersemangat dan berusaha memperbaiki taraf hidup.

Kisah ini bukan sahaja menyentuh hati, malah menjadi simbol bahawa pendidikan dan peluang kedua mampu mengubah masa depan seseorang, walau bermula dari titik paling gelap dalam hidup. – The Malaysian Update

The post Sultan Selangor Terima Menghadap Bekas Banduan Raih PhD, Pertemuan Penuh Emosi Undang Sebak appeared first on The Malaysian Update.