JOHOR BAHRU – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026.
Menerusi kenyataan di Facebook pada Sabtu malam, beliau berkata kemenangan itu membuktikan rakyat Johor memilih untuk mengekalkan kestabilan politik bagi memastikan kejayaan ekonomi negeri terus diperkukuh.
"Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada BN atas kemenangan besar mereka di PRN Johor 2026. Ternyata kemenangan itu menjadi bukti Bangsa Johor mahu meneruskan kestabilan sedia ada demi kejayaan ekonomi yang lebih besar," katanya yang juga bekas ADUN Rengit.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, selain dua rakannya, Yusla Ismail yang memenangi kerusi DUN Senggarang dan Zaidi Japar yang menang di DUN Rengit.
Bekas Speaker DUN Johor ini seterusnya mendoakan agar kedua-dua wakil rakyat itu dapat menjalankan amanah dengan cemerlang demi kepentingan rakyat.
Pada masa sama, beliau memaklumkan hanya membantu kempen dua calon Pakatan Harapan (PH) atas kapasiti hubungan peribadi dan enggan mengulas lanjut mengenai hala tuju politiknya selepas ini.
"Apakah hala tuju politik saya selepas ini? Hanya ALLAH yang tahu. Selebihnya, 'business as usual'," katanya.



