
NEW YORK - Malaysia membuka semula kedutaannya di Iran selepas ia ditutup sementara berikutan konflik yang melanda negara berkenaan pada Jun lepas.
Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Duta Besar Malaysia ke Iran, Khairi Omar, juga telah kembali bertugas di Tehran selepas pulang ke tanah air seketika melalui penerbangan dari Ashgabat, Turkmenistan ketika konflik berlaku.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan tarikh sebenar kedutaan itu dibuka semula dan beroperasi.
“Penutupan sementara (kedutaan) itu telah pun selesai. Duta Besar kita sudah kembali ke Tehran dan operasi berjalan seperti biasa. Kita berharap tiada lagi konflik berlaku.
“Sekiranya berlaku ketidaktentuan di Asia Barat, kesannya bukan sahaja dirasai di Asia Tengah, malah seluruh dunia termasuk Malaysia turut menerima tempiasnya walaupun berada jauh,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Kenyataan Negara pada sesi Debat Umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) 2025 di sini, Sabtu.
Jun lalu, Malaysia menutup kedutaan di Iran susulan ketegangan memuncak antara Iran dan Israel selepas serangan udara tanpa provokasi rejim Zionis ke atas wilayah republik berkenaan.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan peluru berpandu balistik ke beberapa lokasi di Israel.
Ekoran itu, Kementerian Luar mengambil keputusan membawa pulang rakyat Malaysia termasuk Duta Besar, kakitangan kedutaan dan keluarga mereka ke tanah air melalui penerbangan melibatkan laluan Ashgabat, Turkmenistan ke Bangkok, Thailand sebelum kembali ke Malaysia.
Untuk rekod, Malaysia menubuhkan Kedutaan di Tehran pada 1970, manakala Iran membuka Kedutaannya di Kuala Lumpur pada 1981. - 28 September, 2025
The post Selepas beberapa bulan ditutup, Malaysia buka semula kedutaan di Iran appeared first on Scoop.


