
BATU PAHAT: Konvoi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Insani Misi Bantuan Banjir akan diteruskan ke negeri Pahang selepas ini bagi membantu penduduk yang terjejas bencana di negeri itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata konvoi itu akan bergerak selepas misi bantuan di Johor, membabitkan daerah Kluang dan Batu Pahat, selesai hari ini.
Beliau berkata konvoi itu melibatkan 23 kenderaan yang disertai 75 peserta dan membawa 600 unit sumbangan terdiri daripada barangan keperluan serta peralatan pembersihan, selain Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan yang menyediakan set peralatan sekolah dan barangan makanan.
“Sebagaimana saya pesan dengan agensi agama ini, kita perlu sentiasa cakna. Sebelum ini, kita lancarkan konvoi ke pantai timur, begitu juga di Sabah, kita bantu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Sri Medan, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid.
Sementara itu, Mohd Fared berkata Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) tidak menghalang usaha mana-mana pihak termasuk golongan selebriti untuk membina masjid di negeri ini.
Bagaimanapun, katanya, ia perlu melalui prosedur tertentu termasuk kelulusan daripada kerajaan negeri, selain menolak dakwaan usaha berkenaan berdepan halangan disebabkan perbezaan fahaman politik.
“Saya nak ucap terima kasih kepada rakan kita kerana beliau menunjukkan keprihatinan dan kematangan untuk berurusan dalam perkara ini. Saya yakin usaha baik beliau itu dapat kita bantu dan usaha menuju ke arah itu sedang dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai sama ada terdapat halangan daripada kerajaan negeri berhubung perancangan membina masjid baharu di negeri ini yang pernah diutarakan dua selebriti tanah air. - Bernama

