Selepas keladi, padi diserang ulat batang, kutu beruang

LocalEnvironment
4 Oct 2026 • 9:15 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Selepas keladi, padi diserang ulat batang, kutu beruang

ROMPIN – Sudahlah tanam padi, tumbuh keladi, kini padi yang masih tinggal pula diserang ulat batang dan kutu beruang sehingga hampir keseluruhan tanaman di Paya Sepayang, di sini, musnah.

Lebih memburukkan keadaan, tanaman padi turut diserang penyakit misteri apabila padi akan bertukar warna kekuningan sebelum akhirnya mati.

Seorang pesawah, Zulmizan Zaini, 48, berkata, satu-satunya kawasan sawah miliknya yang kurang ditumbuhi keladi pula diserang ulat batang sehingga hampir keseluruhan tanaman padi yang sudah mengeluarkan hasil musnah.

“Setiap minggu memang saya meracun dan guna racun terbaik yang ada di negara ini meskipun terpaksa mengeluarkan modal besar.

“Namun sekelip mata harapan saya hancur apabila padi yang ditanam musnah akibat serangan ulat batang,” katanya yang mengusahakan 3.6 hektar sawah padi.

Menurutnya, keadaan itu membuatkan dia yang tiada pekerjaan tetap bukan sahaja hilang punca pendapatan, malah terputus modal untuk memulakan semula penanaman padi pada musim akan datang.

“Justeru saya amat berharap bantuan kerajaan untuk memulakan penanaman baharu padi dan beroleh hasil yang baik,” ujarnya.

Ahmad Sabri Mohamad Rafi, 34, pula berkata, kira-kira enam hektar sawah yang diusahakannya kini musnah akibat serangan ulat batang, kutu beruang dan penyakit misteri selain serangan keladi.

Katanya, keadaan itu menyebabkan dia yang hanya bergantung pendapatan sebagai pesawah dan mengambil upah membajak sawah kini hilang sumber pendapatan.

“Apa yang membelenggu fikiran saya kini adalah cara untuk membayar sewa empat lot tanah pada harga RM1,500 bagi satu lot,” katanya.

Dia juga berharap pihak berkaitan dapat membantu petani dalam mengurus serangan perosak dan penyakit kuning yang masih menjadi misteri.

“Kami juga rayu supaya cari punca serangan keladi yang seolah-seolah sudah kebal dengan semua jenis racun rumpai,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan, pesawah di daerah ini tertekan apabila modal RM200,000 yang digunakan untuk menanam padi lebur selepas sawah diusahakan mereka ditumbuhi pokok keladi jenis agas dan paku rawan.

Fenomena luar biasa di Jelapang Padi Paya Sepayang melibatkan 202 pesawah berdaftar itu dikatakan pertama kali berlaku hingga menyebabkan sebahagian besar pokok padi yang ditanam di kawasan seluas 240 hektar mati.

The post Selepas keladi, padi diserang ulat batang, kutu beruang appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved