Tanam padi, tumbuh keladi

3 Oct 2026 • 10:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tanam padi, tumbuh keladi

ROMPIN – Pesawah di daerah ini berada dalam keadaan tertekan apabila modal RM200,000 yang digunakan untuk menanam padi lebur selepas sawah diusahakan mereka ditumbuhi pokok keladi jenis agas dan paku rawan secara agresif sejak empat bulan lalu.

Fenomena luar biasa di Jelapang Padi Paya Sepayang melibatkan 202 pesawah berdaftar itu dikatakan pertama kali berlaku hingga menyebabkan sebahagian besar pokok padi yang ditanam di kawasan seluas 240 hektar mati.

Jumlah kerugian itu berdasarkan kepada purata modal asas pe­ringkat awal penanaman padi bagi separuh kawasan sawah yang terjejas ­teruk dan tidak termasuk bendang yang terkena serangan tersebut.

Pesawah, Mohd. Fadzil Mahmud, 42, berkata, sebahagian bendang yang diusahakan seluas 12 hektar terjejas akibat serangan keladi itu menyebabkan tanaman untuk menghasilkan beras itu tidak dapat tumbuh.

Katanya, ekoran itu sembilan hektar pokok padi tidak dapat dituai kerana dipenuhi pokok tersebut.

“Kami rugi teruk. Ini kali pertama sawah padi kami diserang dengan keladi sehingga menyebabkan padi yang ditanam mati.

“Saya dah cuba bajak balik dan tanam semula padi tetapi kejadian sama berulang apabila bendang dipenuhi keladi dan akhirnya terpaksa dibiarkan sahaja,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut Mohd. Fadzil, feno­mena itu menimbulkan persoalan dalam kalangan petani sehingga bukan sahaja kehabisan modal, malah mereka kehilangan punca pendapatan yang selama ini menjadi tempat mereka bergantung hidup.

Azrul Ridhuan Abdul Rahman, 40, pula berkata, kawasan sawah yang diusahakan bersama abangnya kini kelihatan seperti lautan keladi.

Katanya, dengan kos berganda bagi menanam semula padi dan meracun keladi berulang-ulang bukan sahaja tidak membuahkan hasil, malah menyebabkan dia mengalami kerugian besar.

“Saya sudah tiga kali meracun keladi menggunakan racun yang mahal dan dikatakan terbaik, malah saya juga mencabut keladi tetapi keladi tetap ada, kami tidak tahu hendak buat apa lagi.

“Malah ada padi saya yang merah dan sakit kerana terkena racun keladi tetapi keladi tetap tumbuh segar dan akhirnya memenuhi seluruh sawah padi,” ujarnya

Tambahnya, dia dan pesawah lain kini hilang modal untuk memulakan kembali penanaman padi kerana sawah yang ada tidak dapat lagi dituai.

“Kalau tuai pun rugi sahaja, kena bayar upah mesin padi, jadi kami harap ada bantuan kali ini untuk menampung modal penanaman semula seperti kos pembajakan dan juga benih padi,” ujarnya.

The post Tanam padi, tumbuh keladi appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved