Selepas Rafizi, Nik Nazmi Pula Umum Letak Jawatan

LocalPolitics
28 May 2025 • 4:36 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Nik Nazmi Nik Ahmad pada hari pertama memasuki pejabat sebagai menteri - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Keputusan Datuk Seri Rafizi Ramli meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi ternyata tidak berakhir di situ.

Jejak beliau disusuli pula rakan seperjuangan, Nik Nazmi Nik Ahmad yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

Menurut Nik Nazmi, surat peletakan jawatan telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, peletakan jawatan berkenaan berkuatkuasa mulai 4 Julai. 

“Saya bercuti bermula esok hingga 3 Julai 2025,” katanya.

Jelas Nik Nazmi, beliau sedar bahawa pelantikannya sebagai menteri dibuat atas kapasiti dirinya sebagai Naib Presiden PKR.

“Memandangkan saya tidak berjaya mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan parti baru-baru ini, saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri.

“Sejak dilantik ke dalam Jemaah Menteri, pertama sebagai Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Disember 2022-Disember 2023), dan seterusnya sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (Disember 2023—Julai 2025), saya telah berusaha sebaik mungkin bersama Timbalan Menteri dan para penjawat awam yang berdedikasi untuk melaksanakan reformasi yang amat diperlukan,” katanya.

Beliau menarik perhatian, kejayaan dua kementerian terbabit termasuk pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] - Fasa 1, serta peningkatan ketelusan dalam laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA). 

“Malaysia juga menjadi antara negara terawal yang mengemukakan National Biodiversity Strategies and Action Plan (NBSAP) bagi membendung kemusnahan alam semula jadi.

“Pengurangan kadar penyahutanan yang ketara juga telah mendapat pengiktirafan daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres,” katanya. 

Nik Nazmi memberitahu, NRES juga berjaya melaksanakan penyasaran semula subsidi elektrik di bawah mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) di Semenanjung Malaysia, hanya dalam tempoh beberapa minggu selepas beliau dilantik sebagai menteri.

“Kami juga berjaya meluluskan Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga di Dewan Rakyat. Dalam sektor air, kami telah memperkenalkan Tariff Setting Mechanism yang amat diperlukan.

“Pasukan NRES telah memulakan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) dari peringkat paling asas, dan kini berada di peringkat akhir sebelum dibentangkan ke Jemaah Menteri dan Parlimen,” katanya. 

Mengulas mengenai perancangan selepas peletakan jawatan itu, beliau berkata, tumpuan akan diberikan kepada tugas sebagai Ahli Parlimen Setiawangsa. 

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penjawat awam yang berwibawa, pasukan di pejabat saya yang cemerlang, serta semua pihak daripada sektor awam, swasta dan masyarakat sivil yang telah banyak mengajar saya dan memungkinkan pelaksanaan pelbagai reformasi penting sepanjang tempoh ini.

“Kami sentiasa berusaha untuk mengambil pendekatan yang terbuka dan berunding dengan semua pihak dalam merangka dasar dan memperkenalkan undang-undang,” katanya. 

Pada pemilihan PKR yang baru berakhir 23 Mei lalu, Nik Nazmi gagal mempertahankan kedudukan sebagai Naib Presiden. 

Empat calon yang berjaya ialah  Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Dua lagi pemenang ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang serta Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan. - Getaran, 28 Mei 2025