Selepas Rangkul Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik Asia Pasifik, Azira Shafinaz Kongsi Hasrat Mahu Bolos Pasaran Indonesia - “Ada Terima Tawaran Tapi…”

2 Dec 2024 • 4:55 PM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

image is not available

Pelakon Azira Shafinaz sekali lagi melakar sejarah dalam portfolio lakonannya selepas  berjaya dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik (APFF) ke-61 menerusi filem berjudul Indera.

Anugerah kedua

Azira atau nama lengkapnya Azira Shafinaz Ramlan, 32, menyifatkan penat lelah selama 10 tahun berkecimpung dalam industri dunia hiburan berbaloi selepas memenangi anugerah kedua nya itu.

“Saya sangat teruja dan terkejut apabila berjaya menerima anugerah ini kerana saya cuma dijemput dan diberitahu filem Indera menjadi filem pembukaan bagi FFAP-61. Saya hanya boleh cakap saya bersyukur, berbesar hati dan merendah diri. 

“Minat saya yang utama adalah berlakon, daripada dulu sebelum saya nyanyi bersama DeFam saya memang simpan hasrat nak jadi pelakon, saya naik bersama De Fam tapi saya fikir apa salah nya kalau saya buat solo karier dan berlakon.

“Alhamdulillah bagi saya penat lelah saya berbaloi dan saya harap tidak akan terhenti sampai di situ dah ada lagi peluang untuk saya pada masa akan datang,” katanya kepada Gempak selepas malam kemuncak APFF61 yang berlangsung di Wyndham Ion Majestic Hotel in Genting Highlands, Pahang.
 

Sementara itu, mengulas mengenai watak yang dipegang sebagai Nisa menerusi filem Indera, Azira menyifatkan naskhah tersebut sangat mencabar dan menuntut permainan emosi yang begitu berat.

“Watak ini sangat berat dan jalan penceritaan juga agak dark. Dia menguji ekspresi dan emosi saya. Kalau orang Malaysia tengok filem ini mungkin ambil masa untuk hadamkan.

“Saya percaya dengan pembikinan filem, Malaysia tak semestinya perlu ada filem yang stereotaip. Kemenangan ini bukti filem seperti Indera perlu lebih diangkat, saya harap bila dah keluar di pawagam Malaysia orang boleh terima,” ujarnya lagi. 

 

Dalam pada itu, berkongsi mengenai perancangan karier lakonan pada masa hadapan, pelakon filem Sheriff: Narko Intergriti ini juga sempat berkongsi hasratnya yang mahu membolosi pasaran negara seberang Indonesia. 

“Saya teringin nak masuk Indonesia kalau boleh, saya ada terima tawaran tapi semua masih dalam perancangan kalau semua dah confirm baru saya boleh kongsikan,” ujarnya lagi.

Semalam, bukan hanya Azira, aktor kelahiran Malaysia, Fabian Loo juga diumumkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem arahan Tunku Mona Riza iaitu Raintown.

Sebelum ini, Azira pernah memenangi trofi Pelakon Wanita Komedi Terbaik di Asian Academy Creative Awards menerusi lakonannya dalam drama bersiri, Ijab Kabut.