Selepas tandas sekolah, kerajaan tambah baik tandas rumah guru

3 Oct 2023 • 12:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar ketika tiba pada Karnival Segalanya Felda Wilayah Mempaga di Felda Chemomoi, Bentong pada Isnin. Turut kelihatan Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (kanan). - Foto Bernama

BENTONG - Selepas tandas sekolah, giliran tandas di rumah-rumah guru dan agensi kerajaan lain di seluruh negara menjadi tumpuan kerajaan untuk penambaikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha tersebut akan dilakukan selepas penambahbaikan tandas-tandas sekolah siap dilaksanakan.

"Sampai di sekolah saya tanya guru-guru tandas sekolah macam mana, semua tandas sekolah dibaiki dan paling akhir siap bulan depan.

"Ini sekolah kebangsaan, sekolah Cina, sekolah Tamil, sekolah Arab, seluruh sekolah di Malaysia, pertama kali dalam sejarah anak-anak kita ada ruang untuk pergi ke tandas yang bersih," kata Anwar.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Segalanya Felda di Dataran Niaga Felda Chemomoi di sini pada Isnin.

Ujar Anwar, penambahbaikan tandas akan dilaksanakan secara berperingkat dari semasa ke semasa dan akan dibentangkan dalam Belanjawan Madani pada 13 Oktober ini.