Selesai baki 25 peratus syor RCI bukti komitmen TH - Bekas Menteri Agama

LocalPolitics
30 Jul 2026 • 2:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Selesai baki 25 peratus syor RCI bukti komitmen TH - Bekas Menteri Agama
Mohd Na'im

SHAH ALAM - Usaha pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) melaksanakan kira-kira 75 peratus daripada syor yang dikemukakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mencerminkan komitmen institusi itu memperkukuhkan tadbir urus dan memulihkan keyakinan pendeposit.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, usaha pemulihan yang sedang dilaksanakan pengurusan dan warga TH wajar diberikan penghargaan.

"Alhamdulillah, tirai RCI telah dibuka, selain belajar daripada sejarah dan luka semalam, jangan terlupa menghargai tangan yang tekun menyembuhkannya.

"Membina lebih sukar daripada mengkritik. Memulihkan lebih berat daripada menghukum.

"Tahniah dan terima kasih saya ucapkan buat Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, Ahli Lembaga Pengarah, pengurusan serta seluruh warga TH, kerana atas ikhtiar gigih melaksanakan 75 peratus daripada cadangan RCI," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: 'RCI Tabung Haji buktikan fitnah saya gadai aset umat Islam tidak benar' – Mujahid

'RCI hanya tunjuk tindakan dalaman pegawai TH, jadi siapa ahli politik UMNO 'sakau?' - Akmal Saleh

Penerbitan laporan penuh RCI Tabung Haji perkukuh ketelusan, amanah tadbir urus institusi – IKIM

RCI Tabung Haji: Panel Pelaburan TH perlu diperuntukkan semula dalam Akta 535

RCI Tabung Haji: Krisis berpunca daripada kelemahan tadbir urus, bukan salah guna kuasa

RCI Tabung Haji: Ahli politik aktif tidak wajar terajui TH

Terdahulu, TH dalam kenyataan memaklumkan pihaknya dalam proses melaksanakan 25 syor penambahbaikan RCI dengan 75 peratus daripadanya berjaya diselesaikan bagi meningkatkan tadbir urus dan kesejahteraan institusi itu.

Mohd Na'im berkata, kredibiliti Abdul Rashid sebagai pengasas Kumpulan RHB dilihat memberi nilai tambah kepada usaha pelaksanaan pembaharuan yang sedang digerakkan oleh TH.

"Abdul Rashid juga merupakan salah seorang ahli Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang dilantik bagi mengkaji isu-isu pengurusan dan pentadbiran Lembaga Tabung Haji.

"Justeru, tatkala mata tertumpu pada kesilapan yang lalu, beliau serta pengurusan TH menumpukan masa dan tenaga melaksanakan dengan kesungguhan, keberanian melakukan pembaharuan, dan komitmen mengembalikan keyakinan umat," katanya.

Beliau turut mengharapkan segala usaha yang dilaksanakan akan terus dipermudah dan diberkati supaya TH kekal teguh sebagai institusi kebanggaan umat Islam di negara ini.

"Wira yang sebenar sering kali ialah mereka yang paling setia memikul amanah," katanya lagi.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved