Selesaikan krisis secara muafakat, bukan ketepi adat

LocalPolitics
27 Apr 2026 • 7:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Selesaikan krisis secara muafakat, bukan ketepi adat
Laporan muka depan Sinar Harian berhubung krisis yang melanda Negeri Sembilan.

KECOH betul Negeri Sembilan sejak kebelakangan ini. Tiada ribut, tiada hujan, tiba-tiba krisis adat dan perlembagaan meletup di peringkat tertinggi.

Bila Undang Yang Empat dan Yang di-Pertuan Besar saling berbalas tindakan, rakyat pula jadi pemerhati yang keliru. Mana satu sah, mana satu tersasar?

Merak Jalanan nampak satu perkara jelas: ini bukan sekadar soal undang-undang, tetapi soal kebijaksanaan mengurus adat.

Bila berlaku kesalahan prosedur seperti pelucutan jawatan tidak mengikut lunas luak, atau pengumuman dibuat tergesa-gesa, maka lahirlah krisis berganda iaitu krisis adat dan krisis perlembagaan.

Lebih membimbangkan, jalan ke mahkamah kini mula disebut-sebut. Ya, itu hak mana-mana pihak. Tetapi persoalannya, apakah wajar institusi adat yang berakar ratusan tahun dibawa ke gelanggang perundangan sivil?

Implikasinya bukan kecil. Maruah institusi, imej negeri dan keyakinan rakyat boleh terjejas. Bahkan terdapat risiko undang-undang adat usang itu sendiri diancam kepupusan.

Dalam adat, jawapannya sudah lama ada: muafakat.

Menteri Besar tidak boleh terus dilihat memihak atau berdiam diri. Peranannya sebagai penasihat mesti dimanfaatkan sepenuhnya.

Jalan keluar paling rasional ialah menganjurkan semula konvensyen Dewan Keadilan dan Undang, himpunkan semua pihak, duduk semeja, tarik balik keputusan yang meragukan dan capai persetujuan baharu secara bersama. Dalam bahasa mudah, buang yang keruh, ambil yang jernih.

Merak Jalanan percaya, mahkamah mungkin boleh menentukan siapa benar atau salah. Tetapi hanya muafakat mampu mengembalikan keharmonian. Negeri beradat selayaknya diselamatkan dengan kaedah beradat.