SHAH ALAM – Pelbagai kemungkinan boleh berlaku susulan krisis di Negeri Sembilan, termasuk pembentukan kerajaan negeri baharu menerusi gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) menyerahkan jawatan Menteri Besar kepada BN.
Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berpandangan bagaimanapun Menteri Besar dan Speaker Dewan Undangan Negeri yang kedua-duanya daripada PH dijangka tidak akan membenarkan usul undi tidak percaya dibawa.
Menurutnya, sebaliknya mereka lebih cenderung meneruskan pentadbiran kerajaan minoriti yang disifatkan sebagai “muka tembok” atau memohon pembubaran Dewan.
“Malah, kerajaan gabungan BN dan PN juga berkemungkinan tidak akan mendapat perkenan untuk dibentuk di Istana Seri Menanti, mengambil kira pendirian Menteri Besar berhubung krisis perlembagaan yang berlaku.
“Satu lagi kemungkinan ialah PH menyerahkan jawatan Menteri Besar kepada BN. Namun, saya berpendapat kita sudah jauh melepasi tahap itu,” katanya menerusi hantaran di Instagram Stories pada Isnin merujuk kepada krisis berkenaan.
Pada Isnin, kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan sebulat suara mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Mengulas lanjut, bekas Menteri Kesihatan itu berkata sekiranya PH berbuat demikian, mereka akan dilihat sebagai terlalu terdesak, seolah-olah kalah dan dipaksa keluar daripada jawatan Menteri Besar.
“Pada tahap ini, UMNO berada dalam situasi ‘check’ seperti dalam permainan catur,” katanya.






