Seleweng Bekalan LPG: 2 Ahli Perniagaan Berdepan 22 Pertuduhan 

LocalPolitics
19 Nov 2026 • 7:55 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Seleweng Bekalan LPG: 2 Ahli Perniagaan Berdepan 22 Pertuduhan 

TAWAU - Dua ahli perniagaan, termasuk anak kepada bekas wakil rakyat, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau hari ini atas 22 pertuduhan mengemukakan tuntutan mengandungi butiran matan palsu berkaitan pembekalan dan pengedaran gas petroleum cecair (LPG) di bawah Program Penyeragaman Harga.

Kedua-dua tertuduh, Mohd Zikri Sundu, 50, dan Mohdichsan Abd Muis, 35, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Andi Razalijaya A Dadi.

Kesemua pertuduhan membabitkan tuntutan perkhidmatan pembekalan dan pengedaran LPG bagi tempoh Mei 2021 hingga Mei 2023, yang didakwa dikemukakan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Tawau antara 5 Jun 2021 hingga 1 Mei 2023.

Mengikut pertuduhan, dokumen tuntutan berkenaan mengandungi maklumat tidak benar berhubung jumlah tong LPG yang dihantar ke pusat jualan di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Tuntutan itu menyatakan sebanyak 33,284 tong LPG telah dihantar, sedangkan jumlah sebenar didakwa hanya 28,072 tong, sekali gus mencatatkan perbezaan sebanyak 5,212 tong.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat KPDN cawangan Tawau.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai butiran matan palsu atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pegawai pendakwa SPRM Sabah, Norsham Saharom, mencadangkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin tempatan, selain memohon beberapa syarat tambahan dikenakan.

Syarat berkenaan termasuk mewajibkan kedua-dua tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak menghubungi atau mendekati saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam bela Abdul Ghani Zelika yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon agar jumlah jaminan dikurangkan kepada RM3,000 setiap seorang.

Beliau memaklumkan anak guamnya kini tidak mempunyai pendapatan tetap selepas kontrak pembekalan dan pengedaran LPG mereka ditamatkan susulan siasatan berhubung kes berkenaan.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin tempatan, tertakluk kepada semua syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 14 Januari 2027 untuk pengurusan kes praperbicaraan, manakala perbicaraan penuh dijadual berlangsung selama tiga hari bermula 22 hingga 24 Februari 2027. - Getaran, 19 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved