amree16/11/2026 - 09:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Nov — Akses perkhidmatan kesihatan pakar di koridor selatan Selangor kini diperluas menerusi pembukaan Selgate Specialist Hospital (SSH) Sepang, hospital swasta pertama di daerah itu yang memulakan operasi dengan 43 katil daripada kapasiti penuh dirancang sebanyak 112 katil.
Hospital berkenaan sudah beroperasi pada 11 November 2026, sekali gus menandakan langkah terbaharu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Selgate Corporation itu memperluas kehadiran dalam sektor penjagaan kesihatan serta membangunkan rangkaian di seluruh Selangor.
Pusat perubatan berkenaan yang terletak di lokasi strategik, turut menyediakan pelbagai akses kepada penduduk sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Bandar Baru Salak Tinggi, Bandar Enstek di Nilai, Negeri Sembilan dan kawasan sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan.
"Hospital pakar tersebut juga menawarkan perkhidmatan perubatan pakar yang merangkumi ortopedik, kesihatan metabolik, obstetrik dan ginekologi, pediatrik termasuk perkembangan kanak-kanak serta pembedahan am," jelas Selgate dalam kenyataan pada Isnin.


Tambah kumpulan berkenaan, operasinya ketika ini disokong oleh seramai 15 pakar perubatan, dengan pengembangan pasukan pakar dijangka dapat dilaksanakan dalam tempoh enam bulan yang akan datang selaras dengan peningkatan kapasiti perkhidmatan kepada pelanggan.
Sehubungan itu ujarnya, bagi menyokong keperluan pesakit, hospital berkenaan turut dilengkapi dengan Jabatan Kecemasan yang beroperasi 24 jam, kemudahan pengimejan diagnostik, makmal, dewan bedah, rawatan kritikal serta wad pesakit dalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Selgate, Datuk Noor Hisham Mohd Ghouth berkata, pembukaan SSH Sepang merupakan langkah penting dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan di Selangor, selain mendekatkan akses kepada rawatan berkualiti kepada masyarakat.
"Aspirasi kumpulan ini bukan sekadar memperluas rangkaian hospital, malah membangunkan ekosistem penjagaan kesihatan secara mampan menerusi integrasi perkhidmatan yang merentasi pelbagai jenis perniagaan kesihatan yang disediakan," menurut beliau lagi.


SSH Sepang melengkapkan rangkaian perkhidmatan sedia ada Selgate yang merangkumi jenama SELCARE dan Selgate Specialist Hospital Rawang, dengan usaha pengembangan seterusnya bakal diteruskan menerusi pembangunan Selgate Specialist Hospital Setia Alam.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang SELGATE untuk menghubungkan perkhidmatan penjagaan kesihatan primer, pakar dan sokongan bagi mewujudkan kesinambungan rawatan yang lebih mudah diakses serta terselaras di seluruh Selangor.
Jelas kenyataan Selgate, untuk pertanyaan umum dan janji temu, orang ramai boleh menghubungi SSH Sepang menerusi talian 03-8705 8088 atau mendapatkan akses kepada perkhidmatannya melalui aplikasi SELANGKAH. - DagangNews.com




