ECRL mula operasi percubaan selama 26 hari bawa 170 penumpang

10 Nov 2026 • 9:10 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

ECRL mula operasi percubaan selama 26 hari bawa 170 penumpang Image from: ECRL mula operasi percubaan selama 26 hari bawa 170 penumpang amree10/11/2026 - 09:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Nov — Seramai 170 penumpang menyertai perjalanan sulung Program Operasi Percubaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Gombak ke Kota Bharu, sekali gus menguji fasa terakhir kesiapsiagaan perkhidmatan rel itu sebelum dibuka kepada orang ramai pada 12 Disember 2026.

 

Menurut kenyataan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), perjalanan tersebut menandakan bermula program operasi percubaan yang berlangsung dari 7 November hingga 2 Disember 2026, bagi menilai kecekapan perkhidmatan, pengurusan stesen serta pengalaman penumpang dalam keadaan operasi sebenar.

 

Katanya, tren jenis Electric Multiple Unit (EMU) berlepas dari Terminal Bersepadu Gombak, Selangor pada pukul 7 pagi dan tiba di stesen KotaSAS, Kuantan, Pahang pada pukul 8.28 pagi, mengambil masa hanya 88 minit dengan kelajuan maksimum mencecah sehingga 160 kilometer sejam.

 

"Tren tersebut kemudian meneruskan perjalanannya dari KotaSAS pada pukul 9.33 pagi ke stesen Kuala Terengganu, Terengganu sebelum berlepas pada pukul 9.58 pagi dan akhirnya selamat tiba di stesen Kota Bharu, Kelantan pada pukul 10.58 pagi," jelas operator rel berkenaan.

 

Sepanjang perjalanan tersebut ujar MRL, tren ECRL itu turut merentasi Terowong Genting sepanjang 16.39 kilometer yang menghubungkan kawasan berbukit antara Gombak, Selangor dan Bukit Tinggi, Pahang dalam tempoh hanya selama enam minit.

 

Tambahnya lagi, program selama 26 hari berkenaan turut menguji operasi tren mengikut jadual yang dirancang untuk perkhidmatan komersial, termasuk pengeluaran pas masuk serta penyediaan perkhidmatan kru kabin.

 

ECRL_DagangNews2026

 

Katanya, program itu dikendalikan ECRL Operation Sdn Bhd (EOSB), syarikat usaha sama (JV) 50:50 antara MRL dan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL), yang bertanggungjawab dalam kerja mengendalikan serta menyelenggara rangkaian rel berkenaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, operasi percubaan itu penting bagi memastikan ECRL bersedia menawarkan perjalanan yang selamat dan konsisten, selain membolehkan pihaknya menilai pengalaman penumpang sebelum perkhidmatan dibuka kepada umum.

 

"Setakat Oktober 2026, kemajuan pembinaan Fasa 1 ECRL bagi jajaran Kota Bharu-Gombak mencapai 98.47%, selepas projek tersebut melengkapkan pengujian dan pentauliahan sistem termasuk System Integration Testing (SIT) serta Fault-Free Run (FFR) pada 29 Oktober 2026," katanya.

 

Dari segi tambang pula, Jemaah Menteri sebelum ini meluluskan struktur tambang ECRL berasaskan kepada mekanisme dinamik, dengan tambang kelas Ekonomi bagi perkhidmatan Transit dari Gombak ke Kota Bharu bermula serendah RM125.

 

Rangkaian ECRL sepanjang 665 kilometer itu menghubungkan Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan Selangor, dengan perjalanan Gombak-Kota Bharu dijangka mengambil masa kira-kira empat jam berbanding sekitar tujuh jam melalui jalan raya.

 

Maklumat penjualan tiket dan perkhidmatan penumpang akan diumumkan melalui saluran rasmi ECRL pada pertengahan November 2026. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved