Seludup dadah guna pesawat tentera: Tiga pegawai TUDM antara enam individu didakwa esok

26 Nov 2026 • 8:22 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Seludup dadah guna pesawat tentera: Tiga pegawai TUDM antara enam individu didakwa esok

SHAH ALAM, 26 NOV: Seramai enam individu termasuk tiga pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam esok, berhubung kes penyeludupan dadah yang dipercayai menggunakan aset ketenteraan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua mereka akan dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan telah menerima arahan untuk menuduh tiga pegawai TUDM dan tiga orang awam esok," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, enam suspek itu antara 13 individu yang ditahan menerusi operasi bersepadu bersama Cawangan Provos Marsyal TUDM pada 17 hingga 19 November lalu.

"Tujuh lagi suspek akan diambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985," katanya.

Pada 17 November lalu, tujuh anggota dan pegawai TUDM ditahan bagi membantu siasatan susulan penemuan 96.6 kilogram (kg) disyaki dadah di Pangkalan Udara Subang, dekat sini.

Panglima TUDM, Tan Sri Muhamad Norazlan Aris dilaporkan berkata, mereka membabitkan lima pegawai dan dua anggota lain-lain pangkat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dalam laporan media hari ini berkata, tiga tan syabu bernilai RM156 juta dipercayai diseludup keluar menerusi dua kemudahan TUDM di Sabah sejak Ogos 2024.

Beliau berkata, kegiatan itu membabitkan 21 transaksi, dengan tujuh daripadanya dikesan di Tawau, manakala 14 lagi dari Labuan.

Katanya, tujuh transaksi dengan syabu seberat 1.8 tan, membabitkan nilai RM93 juta, diseludup keluar dari Tawau, selain 14 transaksi sudah berlaku di Labuan sejak Ogos 2024, membabitkan syabu seberat 1.2 tan dengan nilai RM63 juta.

Hussein berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah boleh menyalurkannya menerusi talian Hotline JSJN 012-2087222.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved