Enam termasuk tiga pegawai TUDM dituduh esok

26 Nov 2026 • 7:05 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Enam termasuk tiga pegawai TUDM dituduh esok

PETALING JAYA: Seramai enam individu termasuk tiga pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan didakwa esok berhubung penemuan 96.64 kilogram (kg) dadah disyaki methamphetamine atau syabu bernilai RM4.83 juta di Pangkalan Udara Subang, 17 November lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua suspek akan didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurut beliau, mereka dijangka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok.

” Kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan pihak kami telah menerima arahan untuk menuduh kesemua suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanyac JSJN menegaskan komitmennya untuk terus memerangi kegiatan pengedaran dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah boleh menyalurkannya menerusi Hotline JSJN di talian 012-208 7222,” jelasnya.

Sebelum ini, 11 individu termasuk lima pegawai TUDM dan enam orang awam ditahan bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pengedaran 96.64 kilogram (kg) dadah disyaki methamphetamine atau syabu bernilai RM4.83 juta.

Dalam operasi sama, polis turut merampas 6.98 kg cecair bahan kimia yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan sindiket berkenaan.

Kejayaan membongkar sindiket pengedaran dadah rentas sempadan itu hasil kerjasama risikan strategik antara JSJN Bukit Aman dengan Cawangan Provos Marsyal TUDM.

Sindiket berkenaan dipercayai mengeksploitasi kemudahan penerbangan ketenteraan bagi menyeludup dadah dari Semenanjung Malaysia ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa khususnya Filipina dan Indonesia.

Hasil siasatan mendapati dua daripada individu awam yang ditahan dipercayai berperanan sebagai koordinator dalam mengatur serta menyelaraskan kegiatan pengedaran dadah sindiket berkenaan.

JSJN kini giat mengesan seorang lagi lelaki warga tempatan yang dipercayai ketua sindiket bagi membongkar keseluruhan struktur organisasi serta mengenal pasti pihak lain yang terbabit. – UTUSAN

The post Enam termasuk tiga pegawai TUDM dituduh esok appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved