
TAWAU: 10 individu, termasuk enam pegawai Jabatan Imigresen (JIM), yang ditahan bagi siasatan kes sindiket menyeludup pendatang tanpa izin (PTI) melalui jalan udara, dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada Khamis.
Majistret Dzul Elmy Yunus membenarkan permohonan yang dikemukakan pihak SPRM memandangkan tiada permohonan lanjutan.
Permohonan membebaskan semua suspek itu di bawah Seksyen 49 (2) Akta SPRM dikemukakan pegawai penyiasat SPRM, Wan Muhammad Iqmal Wan Ishaq memandangkan siasatan pihak ibu pejabat SPRM sudah selesai.
Ikat jamin untuk setiap individu akan diputuskan oleh pejabat SPRM, manakala siasatan akan diteruskan untuk tindakan selanjutnya.
Lima pegawai JIM terdiri daripada tiga wanita dan dua lelaki, berusia 30 hingga 41 tahun, yang bertugas di Lapangan Terbang Tawau (LTT) ditahan reman bermula 24 hingga 30 Mac.
Turut ditahan reman adalah empat individu awam berusia antara 30 hingga 55 tahun, dipercayai ejen sindiket tersebut.
Satu lagi tangkapan susulan melibatkan seorang pegawai lelaki JIM berumur 30an yang bertugas di LTT yang ditahan pada 27 Mac dan direman sehingga 3 April, turut dibebaskan bersama sembilan yang lain.
Mereka sebelum ini direman bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.
Kesemua suspek ditahan menerusi Ops Lancar oleh SPRM dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Mereka disyaki menerima suapan bagi setiap pendatang asing tanpa izin yang menggunakan kad pengenalan individu lain bagi melepasi pemeriksaan di LTT.
Pada Selasa lalu, tiga rakyat tempatan yang ditahan dalam Ops Lancar tersebut, didakwa di Mahkamah Majistret Tawau kerana memberi pinjam kad pengenalan mereka kepada orang lain.
Mereka ialah Abdul Habil Mobin, 58, dan Fatimah Hassan, 50, yang dipenjara dua bulan dan didenda RM2,500, manakala Durinah Suaib, 36, dipenjara 12 minggu.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
