Semak Kelayakan Subsidi BUDI95 Mulai Hari Ini - Amir Hamzah

LocalBusiness & Finance
25 Sep 2025 • 3:38 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bermula 9 pagi tadi, rakyat Malaysia boleh menyemak kelayakan untuk subsidi petrol RON95 menerusi inisiatif BUDI MADANI (BUDI95) yang dilancarkan oleh Kementerian Kewangan.

Portal rasmi www.budimadani.gov.my kini dibuka untuk semakan kelayakan serta baki penggunaan subsidi bulanan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, semakan dibuat secara automatik menggunakan nombor MyKad tanpa memerlukan pendaftaran baharu. 

“Pengguna hanya perlu memasukkan MyKad ke dalam pembaca di pam minyak bagi mengesahkan kelayakan sebelum membuat pembayaran,” katanya.

Subsidi petrol RON95 ini disasarkan kepada warganegara berusia 16 tahun ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif. 

Had kelayakan subsidi ditetapkan sebanyak 300 liter sebulan, berdasarkan dapatan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Harga subsidi dikekalkan pada RM1.99 seliter, manakala harga pasaran tanpa subsidi adalah sekitar RM2.60 seliter. 

Penggunaan melebihi kuota akan dikenakan pada harga pasaran semasa. 

Bagaimanapun, pemandu e-hailing boleh memohon kuota tambahan menerusi portal sama.

Kerajaan menjangkakan penjimatan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun melalui pemansuhan subsidi pukal, yang akan disalurkan semula kepada bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian bantuan BUDI95 di 1300-88-9595. - Getaran, 25 September 2025