“Semak semula kes” – Zaim Ikhwan, Ismanira Mohon Pertuduhan Abai Zayn Rayyan Ditarik Balik

Entertainment
18 Sep 2024 • 3:40 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Kes bunuh dan pengabaian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin masih dalam perbicaraan.

Terbaru, pihak pembelaan memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini, ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin akan menghantar representasi supaya pertuduhan mengabai kanak-kanak autisme yang dikenakan terhadap mereka itu ditarik balik.

Peguam Fahmi Abd Moin yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf berkata, ia termasuk permohonan supaya Jabatan Peguam Negara (AGC) menyemak semua kes tersebut.

image is not available

“Selepas meneliti semua dokumen daripada pihak pendakwaan, kami akan hantar dokumen berkaitan kepada AGC dalam masa terdekat.

Susulan itu, saya harap mahkamah menetapkan tarikh lain untuk keputusan representasi, sebelum perbicaraan kes bermula,” katanya.

Menurut laporan Sinar Harian, selepas mendengar hujah tersebut, Hakim, Dr Syahliza Warnoh menetapkan 6 Disember depan untuk keputusan representasi terbabit.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datin Kalmizah Salleh berkata, pihak pendakwaan telah menyerahkan tiga salinan dokumen kepada pihak pembelaan, iaitu laporan syarikat telekomunikasi, forensik telefon bimbit dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Mahkamah menetapkan perbicaraan kes ini berlangsung selama 15 hari, bermula tahun depan iaitu 20 hingga 24 Januari, 3 hingga 7 Februari dan 17 hingga 21 Februari.

Sumber: Sinar Harian

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.