KOTA KINABALU - Permohonan seorang calon bebas membuat semakan kehakiman untuk mencabar keputusan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan yang dimenangi Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun, ditolak Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
Naomi @ Neomi Francis, 59, membuat permohonan semakan terhadap kemenangan Masidi dengan mendakwa berlaku salah laku dan ketidakaturan prosedur dalam pilihan raya di DUN tersebut.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Alexander Siew How Wai berkata, mahkamah mendapati permohonan itu tidak berasas dan bersifat mengganggu.
"Pra-syarat untuk kebenaran tidak dipenuhi, dan perkara ini tidak sesuai untuk disemak melalui semakan kehakiman.
"Oleh itu, permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman ditolak," katanya dalam prosiding yang berlangsung di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu di sini pada Rabu.
Sehubungan itu, mahkamah mengarahkan Naomi membayar kos sebanyak RM5,000 kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) dan RM5,000 kepada Masidi.
Naomi memfailkan permohonan kebenaran pada 26 Disember tahun lalu, dengan menamakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden pertama dan Masidi sebagai responden kedua.
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November tahun lalu, Masidi dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 5,361 undi dalam pertandingan tujuh penjuru
Sementara itu, Naomi hanya memperoleh sebanyak 115 undi.
