
KUCHING, 18 OGOS: Keserasian dalam pasukan dan semangat mahu menang asas penting buat pasukan golf lelaki Selangor yang berjaya menggondol emas acara itu pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 hari ini.
Kejayaan dilakar di Kelab Golf Sarawak di sini menyaksikan pasukan golf dibarisi Austin Gan, 19; Poon Jia Hao, 20; Mohamad Ajmal Amin Fajri, 17 dan Ezekiel Riz Hafi, 15, mempertahankan emas dimenangi ketika dua edisi SUKMA terdahulu.
Austin ketika ditemui selepas upacara penyampaian pingat meluahkan rasa gembira atas kejayaan pasukan mencipta hatrik acara berkenaan sekali gus membanggakan rakyat Selangor.
“Kami datang sini bukan untuk raih perak dan gangsa, tetapi dengan misi raih emas. Akhirnya hari ini kami dapat realisasikan sasaran itu dan semestinya sangat gembira atas pencapaian ini.

“Tidak dinafikan kalangan kami ada seorang dua yang sangat berbakat, tetapi apabila bermain dalam pasukan kami dapat bina ‘chemistry’ dan bekerja sama-sama hingga menyumbang kepada kejayaan ini,” katanya.
Pada aksi akhir, pasukan golf lelaki mengumpul 659 mata, menewaskan pencabar terdekat iaitu Sarawak yang meraih 666 mata untuk pingat perak manakala Perak (gangsa) dengan 669 mata.
Sebelum itu, pasukan golf wanita Selangor merangkul perak dengan 688 mata sementara Mohamad Ajmal Amin Fajri menyumbang pingat sama bagi acara perseorangan (213 mata).


The post Semangat mahu menang, serasi resipi kejayaan golf lelaki Selangor raih emas appeared first on Selangorkini.

