
Kota Kinabalu: Semangat rakyat Sabah menjulang ke puncak baharu apabila sekumpulan pendaki Malaysia termasuk empat pendaki dari Sabah mengibarkan logo yang melambangkan negeri ini pada ketinggian 5,364 meter dari paras laut.
Ketinggian itu hanya 300 meter di bawah puncak Kala Patthar di pergunungan Himalaya pada 15 Oktober lalu.
Sebagai perbandingan Gunung Kinabalu adalah puncak tertinggi di Borneo dengan berketinggian 4,095 meter.
Keempat-empat pendaki dari Sabah itu tampil dengan tanjak tradisional Sigah Papar dan pakaian tradisional Kadazan Papar sekali gus menyerlahkan warna-warna warisan budaya Sabah di tengah-tengah latar salji Himalaya yang memutih.
Ekspedisi tersebut mendapat penajaan sebahagian daripada Palm Oil Industrial Cluster (POIC) iaitu sebuah syarikat milik Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab membangunkan Taman Perindustrian POIC dan mengendalikan Pelabuhan POIC Lahad Datu.
“Walaupun berdepan keadaan ekstrem dengan suhu menjunam hingga negatif 22 darjah celsius dan setelah menilai nasihat daripada pemandu arah kami pasukan membuat keputusan strategik untuk tidak meneruskan pendakian ke puncak Kala Patthar.
“Namun semangat kami tidak pernah luntur,” kata salah seorang pendaki Darlien menerusi mesej WhatsApp.
Beliau menambah semangat pasukan kekal utuh sepanjang perjalanan ke Everest Base Camp berpaksikan mantera bersama mereka: ‘Pushing the limits and going beyond boundaries’ (Menolak batas dan melangkaui sempadan).
Pencapaian ini katanya ia bukan sahaja mencerminkan ketabahan dan semangat juang rakyat Sabah tetapi menggambarkan etika korporat POIC berteraskan ketahanan, keazaman dan keberanian untuk melangkaui batas kemampuan.

