
TAWAU: Kota Kinabalu (KK) berjaya mempertahankan kejuaraannya buat kali ketiga berturut-turut apabila dinobat juara keseluruhan temasya Sukan Sabah (Saga) ke-11 yang melabuhkan tirai pada Jumaat, selepas sembilan hari penuh dengan semangat juang oleh para atlet dari 30 daerah yang mengambil bahagian.
Kontinjen KK yang juga juara pada edisi 2019 di Keningau dan 2023 di KK, berjaya memungut 92 daripada 756 pingat yang dipertandingkan dengan 28 emas, 36 perak dan 28 gangsa pada edisi kali ini.
Papar pula menduduki tempat kedua selepas mengutip 20 emas, sembilan perak dan lapan gangsa (37 pingat keseluruhan) manakala Sandakan di tempat ketiga dengan kutipan 50 pingat (19 emas, 12 perak, 19 gangsa).
Tawau selaku tuan rumah turut memberikan saingan cukup hebat apabila berjaya mengumpul 61 pingat (16 emas, 14 perak, 31 gangsa) meskipun sekadar di kedudukan kelima selepas Keningau (43 pingat keseluruhan).
Majlis penutupan temasya berprestij yang berlangsung gemilang di Stadium Utama Kompleks Sukan Tawau itu disempurnakan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Datuk Mansur Asun.
Kemuncak acara turut menyaksikan dua atlet muda berbakat masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati iaitu Akmal Thaqif Begurdy, 18, dari kontinjen Tawau dan Siti Norjahera Beliamor, 16, dari kontinjen Sandakan.
Akmal Thaqif uggul dalam sukan berbasikal dengan memenangi lima pingat emas, termasuk empat emas individu dalam acara ujian masa perseorangan, cross country eliminator (XCE), cross country Olympic (XCO), 1,000 meter dan pecut 200 meter, serta satu emas dalam acara ujian masa berpasukan.
Kecemerlangannya itu turut membolehkan dia diiktiraf dengan penganugerahan khas ‘atlet lelaki paling bernilai’ bagi sukan berbasikal.
Penganugerahan sebagai Olahragawan pada edisi kali ini adalah kali kedua berturut-turut diterima oleh anak jati Tawau tersebut.
Manakala, Siti Norjahera membuktikan kecemerlangan dalam bidangnya apabila berjaya membawa pulang empat pingat emas, masing-masing dalam acara 100 meter, 200 meter, 4×100 meter dan 4×400 meter.
Siti Norjahera mencatat masa 12.48 saat untuk acara 100 meter, dan 25.96 saat bagi 200 meter, selain membantu pasukannya mencatat masa 49.94 saat (4x100m) dan 4:13.25 minit (4x400m).
Edisi Saga ke-11 yang berlangsung 11-17 Oktober membabitkan 217 acara daripada 23 jenis sukan dan melibatkan 9,588 atlet, termasuk pegawai (urusetia daerah) bagi merebut 756 pingat keseluruhah iaitu 217 emas, 217 perak dan 322 gangsa.



