
Sembilan Jajahan Di Kelantan Berisiko Banjir, JPS Keluarkan Ramalan Awal
KOTA BHARU, (Bernama) — Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan ramalan awal banjir bagi negeri Kelantan melibatkan tempoh antara hari ini (19 Nov) hingga 21 Nov ini, susulan jangkaan hujan berterusan yang berpotensi menyebabkan limpahan sungai di beberapa jajahan.
JPS dalam kenyataan semalam memaklumkan telah mengenal pasti sembilan jajahan yang berisiko terjejas, meliputi kawasan lembangan sungai utama di negeri itu.
Jajahan yang terlibat adalah Tumpat melibatkan Lembangan Sungai Golok, Lembangan Sungai Kelantan dan Lembangan Sungai Pengkalan Nangka, Pasir Mas (Lembangan Sungai Golok dan Lembangan Sungai Kelantan) manakala Kota Bharu (Lembangan Sungai Kelantan, Lembangan Sungai Pengkalan Datu, Lembangan Sungai Kemasin serta Lembangan Sungai Pengkalan Chepa).
Di jajahan Pasir Puteh pula membabitkan Lembangan Sungai Kelantan dan Lembangan Sungai Semerak, Bachok (Lembangan Sungai Kemasin dan Lembangan Sungai Semerak) manakala Tanah Merah (Lembangan Sungai Golok dan Lembangan Sungai Kelantan).
BACA: Monsun Timur Laut Berterusan Hingga Mac Depan – MetMalaysia
Lembangan sungai terlibat di jajahan Machang dan Kuala Krai pula adalah Sungai Kelantan manakala di Jeli pula melibatkan Lembangan Sungai Golok dan Lembangan Sungai Kelantan.
JPS memaklumkan pemantauan berterusan dilakukan dan sebarang amaran banjir akan dikemas kini sekiranya hujan signifikan berterusan di kawasan-kawasan terlibat.
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa peka terhadap hebahan rasmi dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan,”menurut kenyataan itu.
Sumber: BERNAMA
The post Sembilan Jajahan Di Kelantan Berisiko Banjir, JPS Keluarkan Ramalan Awal appeared first on Siakap Keli.

