Sembilan lelaki dituduh anggotai kumpulan jenayah terancang

22 Oct 2026 • 3:21 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sembilan lelaki dituduh anggotai kumpulan jenayah terancang

SUNGAI PETANI – Seramai sembilan lelaki dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang iaitu Geng Suria antara 2024 hingga tahun ini.

Tertuduh, Thayalan, 28; Muhamad Rizwan Abd. Jalil, 28; B Saranraj, 38; G. Suria Prasad, 30; Kavines, 31; A. Tana Balan, 30; G. Sritharan, 39; A. Simon, 34; dan A. Suresh, 52, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim dan Hakim Najwa Che Mat.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Suria di rumah tidak bernombor, Jalan Sekerat, Pekan Lama, di sini antara Disember 2024 hingga April lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dilakukan di bawah Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan dan Mohd. Fakhrulrazi Ahmad Salim, sementara peguam S. Sagthiyaraj dan Mohammad Naim Kamaruddin mewakili lima tertuduh.

Tiada jaminan ditawarkan kepada semua tertuduh kerana kes berkenaan turut disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Mahkamah menetapkan 17 November depan sebagai tarikh sebutan semula dan bagi memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar memaklumkan polis berjaya menumpaskan Geng Suria yang aktif melakukan samun bersenjata di sekitar Kedah menerusi operasi khas Op Sunset, bulan lalu.

Katanya, operasi bersepadu dengan kerjasama JSJ Kontinjen Kedah itu dilancarkan di Kedah dan Perak antara 24 hingga 27 September lalu.

Geng Suria sering menyasarkan kediaman warga asing, premis perniagaan serta rumah kediaman yang dikenal pasti oleh ketua kumpulan. – KOSMO! ONLINE

The post Sembilan lelaki dituduh anggotai kumpulan jenayah terancang appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved