Sembilan Maut Dalam Nahas Pesawat Jet Terhempas Di Florida

2 Nov 2026 • 9:53 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Sembilan Maut Dalam Nahas Pesawat Jet Terhempas Di Florida

Sembilan individu disahkan maut selepas sebuah pesawat jet perniagaan terhempas sebelum meletup dan terbakar di Palm Beach County, Florida, Amerika Syarikat, Ahad lalu.

Pesawat jenis Learjet 60 itu dilaporkan dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Austin-Bergstrom, Texas menuju ke Bahamas ketika kejadian berlaku.

Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA), nahas berlaku sekitar jam 12.50 tengah hari waktu tempatan berhampiran kawasan perumahan Cresthaven.

Rakaman kejadian yang tersebar di media sosial menunjukkan pesawat berkenaan menjunam hampir menegak sebelum menghentam jalan dan mencetuskan bola api besar.

Pesawat Jet Terhempas Di Florida

Gabenor Florida, Ron DeSantis menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang menggemparkan selepas melihat rakaman pesawat berkenaan menjunam ke permukaan bumi.

"Ia seperti peluru berpandu yang sedang menjunam, diikuti letupan besar sehingga serpihan berterbangan ke merata tempat," katanya.

Bagaimanapun, pihak berkuasa setakat ini belum melaporkan sebarang kematian atau kecederaan melibatkan individu yang berada di darat ketika kejadian.

Sementara itu, Setiausaha Pengangkutan Amerika Syarikat, Sean Duffy menyifatkan insiden berkenaan sebagai tragedi mengerikan yang meragut sembilan nyawa.

Beliau turut memaklumkan FAA akan menghantar pasukan ke lokasi bagi membantu siasatan yang dikendalikan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB).

Menurut CNN, rakaman komunikasi radio kawalan trafik udara menunjukkan juruterbang melaporkan pembentukan ais pada pesawat beberapa minit sebelum nahas berlaku.

Juruterbang turut memaklumkan suhu udara luar mencecah negatif 47 darjah Celsius, selain berdepan keadaan gelora sederhana yang menyebabkan pesawat mengalami perubahan ketinggian sehingga 700 kaki.

Dalam komunikasi berkenaan, juruterbang memaklumkan keadaan ais yang terbentuk masih terkawal sebelum melaporkan hujan mula turun dan meminta kebenaran untuk menaikkan altitud.

Bagaimanapun, keadaan dipercayai semakin kritikal apabila juruterbang mengisytiharkan kecemasan dan melaporkan pesawat sedang menjunam pada kadar yang sangat tinggi.

Image from: Sembilan Maut Dalam Nahas Pesawat Jet Terhempas Di Florida

"Kami sedang menurun pada kadar 8,000 kaki seminit. Mayday, mayday, kami sedang menurun pada kadar 10,000 kaki seminit," katanya menerusi komunikasi radio.

Beberapa ketika kemudian, juruterbang sekali lagi melaporkan pesawat berada dalam keadaan kelajuan berlebihan ketika menjunam pada kadar 20,000 kaki seminit sebelum menyebut pesawat bakal terhempas.

Dalam pada itu, kejadian berkenaan turut menyebabkan kerosakan besar terhadap kemudahan infrastruktur berhampiran, termasuk saluran bekalan air di kawasan terbabit.

Pihak berkuasa turut mengarahkan kira-kira 600 penduduk dari kawasan taman perumahan bergerak keluar bagi membolehkan operasi kecemasan dijalankan.

Menurut BBC, jalan Military Trail yang menjadi lokasi nahas dijangka ditutup sekurang-kurangnya 30 hari susulan kerosakan akibat impak pesawat berkenaan.

Setakat ini, identiti kesemua mangsa serta jumlah penumpang dan anak kapal yang berada dalam pesawat masih belum didedahkan pihak berkuasa.

Siasatan lanjut oleh FAA dan NTSB dijangka diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian yang merupakan nahas kedua paling buruk di Amerika Syarikat tahun ini.

CNN turut melaporkan insiden itu sebagai nahas paling buruk membabitkan pesawat jenis Learjet 60 berdasarkan rekod Yayasan Keselamatan Penerbangan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved