
Dunia penerbangan digemparkan dengan nahas sebuah pesawat persendirian yang menjunam sebelum terhempas di kawasan perumahan di Palm Beach, Florida, mengorbankan sembilan individu.
Lebih memilukan, rakaman komunikasi terakhir antara juruterbang dan pusat kawalan trafik udara yang disiarkan menerusi LiveATC.com mendedahkan detik-detik cemas sebelum pesawat berkenaan terhempas.
"Kami akan terhempas!" Itulah antara kata-kata cemas yang kedengaran daripada juruterbang ketika berdepan detik-detik terakhir sebelum nahas berlaku.
Pilu, Panggilan Cemas Terakhir Juruterbang
Menerusi rakaman tersebut, komunikasi antara juruterbang dan pusat kawalan trafik udara pada awalnya kedengaran tenang sebelum keadaan bertukar mencemaskan.
Juruterbang pada mulanya memaklumkan bahawa suhu udara di luar pesawat mencecah negatif 47 darjah Celsius, selain pesawat mengalami pembentukan ais dan gelora udara sederhana.
"Suhu negatif 47 darjah Celsius, kami sedang menangani pembentukan ais, namun masih mengalami gelora udara sederhana. Kami akan terus melaporkan perkembangannya," kata juruterbang berkenaan.
Pegawai pusat kawalan trafik udara kemudian mengakui penerimaan laporan itu dan meminta juruterbang memaklumkan sekiranya mereka memerlukan sebarang bantuan sepanjang penerbangan.
Bagaimanapun, keadaan berubah secara mendadak apabila juruterbang mengisytiharkan kecemasan menerusi panggilan Mayday selepas pesawat dilaporkan menjunam pada kadar 10,000 kaki seminit.
"Kami sedang menjunam, ketinggian kini 8,000 kaki. Mayday, Mayday! Kadar penurunan kami mencecah 10,000 kaki seminit," katanya ketika mula berdepan situasi cemas.
Keadaan semakin kritikal apabila kadar penurunan pesawat meningkat kepada 20,000 kaki seminit sebelum mencecah 22,000 kaki seminit.
Baca juga:"Kami mengalami keadaan kelajuan berlebihan dan sedang menjunam pada kadar 20,000 kaki seminit," kata juruterbang sebelum mengakui mereka berdepan kemungkinan terhempas.
"Kami akan terhempas ke tanah," katanya lagi ketika keadaan semakin tidak terkawal.
Dalam rakaman sama, juruterbang memaklumkan bahawa pesawat sedang menjunam pada kadar 22,000 kaki seminit, selain mengalami kecondongan sehingga 60 darjah.
Ketika pegawai kawalan trafik udara cuba mendapatkan maklumat lanjut, satu suara kedengaran menjerit, "Lihat ke luar, Jeff! Lihat ke luar!"
Tidak lama kemudian, kedengaran ungkapan, "Ya Tuhan, kita sudah kehabisan masa!" sebelum komunikasi daripada pesawat itu terhenti.

Pada penghujung rakaman, hanya suara pegawai pusat kawalan trafik udara kedengaran berulang kali cuba menghubungi juruterbang bagi mendapatkan maklum balas.
Terdahulu, media melaporkan sebuah pesawat jenis Learjet 60 menjunam sebelum terhempas berhampiran kawasan perumahan di Palm Beach, Florida.
Nahas berkenaan mengorbankan sembilan individu yang berada di dalam pesawat, manakala setakat ini tiada kematian melibatkan orang awam di darat dilaporkan susulan kejadian tersebut.





