
PETALING JAYA – “Semoga Allah mudahkan, doakan ya.”
Demikian hantaran ringkas pempengaruh, Aisar Khaled yang dimuat naik di Instagram Story seolah-olah memberi bayangan terhadap kemelut yang dihadapinya ketika ini.
Dalam hantaran video terbaharu, Aisar yang merupakan rakyat Malaysia memberi kejutan kepada tiga pekerja pembersihan warga asing dengan menyerahkan wang dalam not Rupiah Indonesia untuk membantu mereka mengirim duit tersebut kepada keluarga.
Tinjauan di ruangan komen mendapati, rata-rata netizen dari Indonesia menitip doa yang baik buat Aisar apabila pempengaruh itu berdepan dakwaan melakukan penipuan kewangan di negara tersebut.
“Doa terbaik bang. Semoga Allah mudahkan, Allah jaga. Stay strong,” komen seorang pengguna.
“Masya-Allah kamu anak yang kuat. Allah kekuatanmu,” tulis seorang netizen.
“Semoga Allah selalu lindungi kamu bang,” ujar pengguna lain.
Terdahulu, media Indonesia melaporkan Aisar didakwa melakukan penipuan dan pengubahan wang bernilai sekitar 5.7 bilion rupiah (RM1.3 juta).
Laporan dibuat kepada Kepolisian Daerah Metropolitan Jakarta Raya (Polda Metro Jaya) semalam oleh sebuah agensi yang pernah menjadi rakan kongsi di Indonesia melalui wakil peguam, Machi Achmad.
Mereka mendakwa sudah tiga kali menghantar notis tuntutan kepada Aisar, namun tidak menerima maklum balas.
Seorang lagi peguam, Michael Sugijanto memberitahu isu yang terjadi itu berpunca daripada perjanjian pelaburan antara Aisar dengan syarikat yang diwakilinya.
Perjanjian itu menetapkan Aisar perlu melaksanakan beberapa tugasan, namun pihak agensi mendakwa pempengaruh popular terbabit gagal menyelesaikan kewajipan yang dipersetujui.
The post Semoga Allah mudahkan – Aisar Khaled appeared first on Kosmo Online.

