
PETALING JAYA – Keseronakan sebuah keluarga bercuti di Indonesia bertukar menjadi cemas apabila penerbangan mereka pulang ke Malaysia yang sepatutnya berlepas hari ini ditangguhkan susulan letusan gunung berapi.
Pekerja swasta, Muhammad Zulhanif Mohd Asmadee, 33, berkata, dia bersama keluarga kini terpaksa menyambung penginapan di Jakarta selepas dimaklumkan penerbangan mereka dibatalkan pada kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Menurutnya, mereka sepatutnya pulang ke Malaysia hari ini selepas tiga hari berada di Jakarta, namun penerbangan berkenaan ditangguhkan dan dijadualkan semula pada 9 September nanti.
“Saya tiba dari Bandung dan sudah tiga hari di Jakarta. Sepatutnya penerbangan pulang pada hari ini tetapi dimaklumkan penerbangan kami ditangguh.
“Saya dan keluarga tidak terkandas di lapangan terbang kerana makluman mengenai penangguhan penerbangan sudah diketahui sejak kami berada di hotel lagi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Susulan itu, dia dan keluarga mengambil keputusan untuk terus menginap di hotel sama sementara menunggu penerbangan pulang yang baharu.
Zulhanif berkata, dia berharap penerbangan pada 9 September itu dapat diteruskan seperti dijadualkan kerana keadaan berkenaan turut menjejaskan urusan persekolahan anak-anaknya.
“Harap dapat 9 September ini. Sekarang ini saya pun kira cuti kecemasan dan anak-anak juga tidak dapat hadir ke sekolah kerana kami terkandas di sini,” katanya.
Terdahulu, lapan lapangan terbang di Indonesia masih ditutup pada awal pagi tadi ekoran abu gunung berapi Gunung Anak Krakatau.
Abu daripada Anak Krakatau yang terletak di pertengahan antara Pulau Jawa dan Sumatera, sudah menyelubungi Jakarta dan beberapa kawasan sekitarnya sejak ia meletus pada Jumaat lalu, mengakibatkan lapangan terbang ditutup atas faktor keselamatan. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Semoga kami sekeluarga dapat balik 9 September ini’ appeared first on Kosmo Digital.



