Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (26 November), kecoh di media sosial mengenai kelewatan tren LRT berikutan gangguan bekalan kuasa landasan di Stesen Subang Jaya, Glenmarie, Ara Damansara dan Lembah Subang.
Gangguan tren LRT Laluan Kelana Jaya itu bukan sahaja menyebabkan para pekerja berang dan stres kerana lewat sampai ke tempat kerja, malah golongan pelajar khususnya murid yang mahu menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga terkesan.
Baca Artikel Berkaitan: “Aku Dapat Warning Letter Sebab Selalu Lambat” – Ramai Mengeluh LRT Laluan Kelana Jaya Buat Hal Lagi [Video]
Guru Tingkatan 5 Dengan Pantas Jemput 2 Calon SPM Di Stesen LRT Selepas Tahu Tren Alami Kelewatan
Namun tindakan pantas seorang Guru Tingkatan Lima St John’s Institution (SJI), Mohd Nur Hafizan Abdullah, 40, yang prihatin telah menyelamatkan keadaan pelajarnya.
Menurut Pengetua Sekolah, T Sivakumar menerusi satu hantaran di akaun Facebook, Penyelia Tingkatan 5 itu telah bergegas menjemput dua orang pelajar lelaki menaiki motosikal sejurus mengetahui LRT mengalami kelewatan.
Mujur, kedua-dua mereka sempat menduduki kertas peperiksaan subjek Matematik seperti yang dijadualkan.
“Pagi ini (semalam, 27 November) berlaku gangguan perjalanan LRT dan dua murid mengalami kelewatan hadir ke sekolah.
“Tindakan pantas En. Hafizan selaku Penyelia Tingkatan 5 yang pergi mengambil mereka di stesen LRT Jelatek dan Kampung Baru dapat memastikan murid menduduki kertas Matematik mengikut masa peperiksaan.
“Terima kasih En. Hafizan atas komitmen dan tindakan pantas demi kelangsungan kecemerlangan SPM SJI,” kata Sivakumar.
“Inilah Insan Yang Dikatakan Guru Yang Mencurah Bakti” – Netizen
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai memuji sikap prihatin si guru bagi memastikan anak-anak muridnya sempat menduduki peperiksaan penting itu tepat pada masanya.
“Penghargaan istimewa buat Cikgu Hafizan. Satu contoh dedikasi,” kata seorang wanita.
“Inilah insan yang dikatakan guru yang mencurah bakti. Jasamu akan dikenang selalu,” tambah seorang lagi pengguna Facebook.
Sementara itu, ramai juga memuji inisiatif pihak sekolah yang mempunyai pelan B sekiranya berlaku apa-apa situasi tidak diingini berlaku yang mana dalam konteks ini, kelewatan tren.
“Wow! Respect dengan semua sekolah harian yang sedang berdepan SPM. Mereka dah siap dengan rancangan untuk bertindak jika ada masalah dalam perjalanan murid ke dewan peperiksaan. Rasanya semua sekolah perlu ada,” ujar seorang netizen.
“Ni la tugas guru yang kadang-kadang orang lupa nak hargai. Tolong ambil murid yang terkandas. Terbaik cikgu,” kata seorang individu.
Berikut antara komen-komen netizen:






Dulu Pelajar Lewat Ambil SPM Kerana Banjir, Sekarang Kesesakan & Kerosakan Pengangkutan Awam Jadi Salah Satu Faktor – Radzi Jidin
Tindakan Cikgu Hafizan yang terpaksa menjemput calon-calon SPM supaya mereka tidak terlepas mengambil kertas SPM Matematik turut mendapat perhatian di Dewan Rakyat semalam.
Menurut Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Mohd Radzi Md Jidin, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mempertimbangkan faktor kesesakan atau kerosakan pengangkutan awam sebagai salah satu punca mengapa calon SPM terlewat menduduki peperiksaan.
“Apa yang saya nak sentuh di sini, pihak KPM saya mohon dalam konteks kejadian LRT yang rosak hampir setiap hari, kalau sebelum ini pelajar datang lewat kerana banjir, ada pelajar yang sakit tak dapat menduduki peperiksaan, ambil salah satu faktor baru dalam konteks ini bahawa pelajar mungkin lewat kerana terkandas akibat kesesakan atau kerosakan pengangkutan awam.
“Ini real, pelajar dua orang ni kalau cikgu dia tak pergi ambil pagi tadi (semalam), dia tidak boleh menduduki peperiksaan SPM,” katanya.
View on Threads




