Gangguan LRT Pada Hari SPM, Cikgu Sanggup Naik Motor ‘Selamatkan’ Dua Calon Terkandas!

27 Nov 2026 • 10:01 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

syaz ft 2026 11 27T095408.418

Tindakan pantas seorang guru yang sanggup menunggang motosikal demi mengambil dua pelajarnya yang terkandas akibat gangguan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) pagi tadi meraih pujian ramai di media sosial.

Difahamkan, dua calon lelaki berkenaan sepatutnya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi kertas Matematik Kertas 1 yang bermula pada jam 8.15 pagi.

Namun, perjalanan mereka terjejas selepas tren LRT Laluan Kelana Jaya mengalami gangguan teknikal berpunca daripada masalah bekalan kuasa landasan di antara Stesen Subang Jaya dan Lembah Subang.

cats 13

Sebaik sahaja dimaklumkan mengenai situasi cemas itu dan mendapat kelulusan pihak pengurusan sekolah, Guru Penyelia Tingkatan 5 berkenaan, Mohd Nur Hafizan Abdullah, 40, segera bergegas ke Stesen LRT Jelatek dan Kampung Baru menggunakan motosikal untuk menjemput kedua-dua pelajar terbabit.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi sekolah, pengetuanya turut menzahirkan rasa penghargaan dan berterima kasih atas komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh cikgu terbabit.

Menurutnya, tindakan pantas Mohd Nur Hafizan telah berjaya memastikan kedua-dua calon SPM itu tiba tepat pada waktunya dan dapat menduduki kertas peperiksaan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Terima kasih En Hafizan atas komitmen dan tindakan pantas demi kelangsungan kecemerlangan SPM,”tulisnya.

Hantaran tersebut pantas mencuri perhatian warganet yang rata-ratanya meluahkan rasa terharu dan memuji pengorbanan guru Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Moral yang sudah 12 tahun menabur bakti di sekolah berkenaan.

Menjengah ke ruangan komen, ramai pengguna media sosial mendoakan agar urusan pelajar terbabit dipermudahkan serta memuji sikap prihatin warga pendidik tersebut.

“Semoga pelajar tersebut dapat menjawab kertas exam dengan tenang dan berjaya mendapat yang terbaik. Setiap yang baik akan ada balasan yang baik daripada-NYA,”komen seorang netizen.

Dalam pada itu, Mohd Nur Hafizan menerusi ruangan balas hantaran sama turut merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama serta kebenaran daripada pihak pengetua, barisan pentadbir, Yang DiPertua PIBG, Setiausaha Peperiksaan, rakan-rakan guru serta ibu bapa.

Beliau turut berseloroh dan memberikan kredit kepada dua rakan sekerjanya, Cikgu Izzad dan Cikgu Azrol yang meminjamkan motosikal serta topi keledar bagi menjayakan misi menyelamat pada pagi tersebut.

Sumber: Facebook

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved