Sempena Aidiladha, Raja Permaisuri kurnia sumbangan kepada golongan miskin

15 Jun 2024 • 9:19 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available
1

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan mengurniakan sumbangan Aidiladha kepada 250 golongan miskin tegar dan miskin di Johor Bahru, Johor hari ini.

Sumbangan itu ialah kurniaan peribadi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta barangan keperluan asas daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Menurut hantaran Facebook rasmi Sultan Ibrahim, majlis pengurniaan sumbangan itu berlangsung di Dewan Kenanga Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), anjuran bersama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) dan MAINJ.

Turut berangkat mengiringi Raja Permaisuri Agong ialah Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.

Hadir sama, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Datuk Dr Azmi Rohani dan Pegawai Daerah Johor Bahru Muzaldin Mohamed bersama isteri masing-masing.

Sementara itu, Muzaldin dalam ucapan menjunjung kasih atas kurniaan daripada Yang di-Pertuan Agong berkata sumbangan berkenaan mempamerkan hubungan erat antara istana dan rakyat.

“Patik bagi pihak penerima sumbangan menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda. Semoga keprihatinan Seri Paduka Baginda kepada golongan yang memerlukan akan menjadi ikutan kepada seluruh rakyat,” katanya.

— BERNAMA

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved