Sempena Ulang Tahun Ke-15, BoBoiBoy Anjur Monsta Fiesta 2026 & BoBoiBoy Live Show Disember Ini

LocalEntertainment
16 Oct 2026 • 6:55 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Berita baik buat peminat animasi terkenal Malaysia, BoBoiBoy, sempena ulang tahun ke-15, peminat dan keluarga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik menerusi Monsta Fiesta 2026 yang bakal berlangsung selama empat hari di IOI Grand Exhibition & Convention Centre, Putrajaya, dari 17 hingga 20 Disember depan.

Menariknya, sambutan kali ini turut menampilkan BoBoiBoy Live Show: Misi Rekrut TAPOPS, persembahan pentas bertiket pertama di dunia yang membawa watak animasi popular itu bersama rakan-rakannya ke dunia nyata menerusi produksi khas selama satu jam.

Dianjurkan oleh One Universal Production Sdn. Bhd. (OUP) dengan kerjasama MONSTA, festival berkenaan turut menawarkan pelbagai aktiviti mesra keluarga, termasuk sesi bertemu maskot, pertandingan cosplay, tayangan khas, persembahan istimewa dan reruai interaktif.

Pengunjung juga berpeluang mendapatkan barangan rasmi BoBoiBoy serta menikmati pelbagai aktiviti yang mengetengahkan dunia animasi terbitan MONSTA, termasuk Mechamato dan Papa Zola.

Pelbagai Aktiviti Menarik Menanti Pengunjung

Berlangsung dari 10 pagi hingga 10 malam, Monsta Fiesta 2026 menawarkan kemasukan percuma kepada pengunjung yang ingin memeriahkan sambutan berkenaan ketika cuti sekolah.

Bagi peminat cilik, BoBoiBoy Inflatable Playland turut menjadi antara tarikan yang boleh dicuba dengan sehingga lima permainan kembung berbeza pada harga RM18 bagi setiap tiket.

Selain itu, pengunjung boleh meneroka zon barangan rasmi BoBoiBoy yang menawarkan pelbagai pilihan produk eksklusif daripada MONSTA.

Pengarah Eksekutif MONSTA, Ezdiani Ahmad Fawzi, berkata Monsta Fiesta merupakan sebahagian daripada usaha syarikat itu untuk membawa penonton lebih dekat dengan dunia animasi keluar daripada skrin.

Image from: Sempena Ulang Tahun Ke-15, BoBoiBoy Anjur Monsta Fiesta 2026 & BoBoiBoy Live Show Disember Ini

Menurutnya, festival berkenaan kini memasuki edisi ketiga dengan skala lebih besar selepas turut diperluaskan ke Indonesia sebelum ini.

Bersempena ulang tahun ke-15 BoBoiBoy, peminat turut boleh menantikan pelbagai pengalaman istimewa, termasuk barangan eksklusif dan MGC Championship 2026 yang dirancang berlangsung pada skala dua kali lebih besar, selain melibatkan penyertaan antarabangsa yang lebih meluas.

Saksikan BoBoiBoy Beraksi Secara Langsung

Image from: Sempena Ulang Tahun Ke-15, BoBoiBoy Anjur Monsta Fiesta 2026 & BoBoiBoy Live Show Disember Ini

Satu lagi tarikan utama ialah BoBoiBoy Live Show: Misi Rekrut TAPOPS yang bakal berlangsung dari 18 hingga 21 Disember 2026.

Persembahan selama satu jam itu menampilkan penceritaan, kesan visual dan babak aksi yang membawa BoBoiBoy serta rakan-rakannya ke pentas secara langsung.

Sebanyak 16 pertunjukan dijadualkan sepanjang empat hari, dengan empat sesi setiap hari pada jam 11 pagi, 2.30 petang, 5 petang dan 8.30 malam.

View this post on Instagram

A post shared by One Universal Production S/B (@oneuniversalproduction)

Tiket boleh dibeli secara eksklusif menerusi Klook dengan harga seperti berikut:
• VIP: RM168 – Termasuk Jam Tangan Projektor BoBoiBoy Edisi Terhad, Kad VIP TAPOPS Edisi Terhad serta akses Laluan Ekspres untuk kemasukan VIP. Tiket Meet & Greet dijual berasingan.
• CAT 1: RM98
• CAT 2: RM78

Peminat juga boleh mendapatkan Power-Up Kombo pada harga RM28 yang merangkumi Snek Cap Serbaguna Edisi Terhad, susu berperisa Supagen dan bijirin berperisa Supagen.

Jam Tangan Projektor BoBoiBoy Edisi Terhad turut ditawarkan secara berasingan pada harga RM28.

Bagi yang ingin bertemu watak kegemaran mereka dengan lebih dekat, sesi Meet & Greet bersama BoBoiBoy dan rakan-rakan turut diadakan dari 18 hingga 21 Disember.

Tiket berharga RM38 itu boleh didapati di lokasi dengan slot terhad. Setiap sesi berlangsung selama 30 minit, dengan lapan sesi sehari bermula 10.30 pagi hingga 9.30 malam.

Pengalaman Menginap Dalam Dunia BoBoiBoy

Bukan sekadar festival dan persembahan pentas, peminat juga bakal berpeluang merasai pengalaman menginap dalam bilik hotel bertemakan BoBoiBoy yang pertama di Malaysia.

Dibangunkan menerusi kerjasama Moxy Putrajaya dan Thematic Legendary Kingdom, bilik berkenaan dijadualkan dibuka kepada tetamu mulai Disember 2026.

Diilhamkan daripada dunia BoBoiBoy, bilik itu direka untuk memberikan pengalaman penginapan lebih imersif kepada peminat cilik dan keluarga, sekali gus membawa pengembaraan watak animasi itu melangkaui skrin.

Bilik Hotel Bertema BoBoiBoy akan ditawarkan untuk tempoh terhad dari Disember 2026 hingga Disember 2027.

Bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai tempahan, pakej penginapan dan tarikh pelancaran rasmi akan diumumkan dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif One Universal Production, Alvin Lee, berkata pihaknya mahu memberikan pengalaman yang membolehkan keluarga bukan sahaja menyaksikan watak kegemaran mereka dihidupkan di pentas, malah bermain, meneroka dan meneruskan pengembaraan menerusi penginapan bertemakan BoBoiBoy.

Menurutnya, usaha itu bertujuan mewujudkan pengalaman hujung tahun yang boleh dinikmati dan dikenang bersama seisi keluarga.

Dengan gabungan festival percuma, persembahan pentas bertiket dan pengalaman penginapan bertema, sambutan ulang tahun ke-15 BoBoiBoy dijangka menawarkan pelbagai pilihan aktiviti buat peminat yang ingin mengisi cuti sekolah Disember ini.

Maklumat acara


Monsta Fiesta 2026
IOI Grand Exhibition & Convention Centre
17–20 Disember 2026
10 pagi- 10 malam
Kemasukan adalah percuma

BoBoiBoy Live Show: Misi Rekrut TAPOPS!
IOI Grand Exhibition & Convention Centre
18–21 Disember 2026
11AM | 2.30PM | 5PM | 8.30PM
VIP RM168 | CAT 1 RM98 | CAT 2 RM78

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved