'Semua 11 Exco dilantik adalah Exco Kanan saya' - Ab Rauf

LocalPolitics
19 Nov 2026 • 6:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Semua 11 Exco dilantik adalah Exco Kanan saya' - Ab Rauf
Ab Rauf.

MELAKA - Kesemua Exco Melaka yang dilantik pada Khamis memegang status sebagai Exco Kanan dalam pentadbiran kerajaan negeri baharu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, tiada keperluan untuk mewujudkan jawatan Exco Kanan secara khusus kerana setiap daripada mereka yang dilantik dalam jawatan itu diberikan tanggungjawab dan peranan penting bagi memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar.

Menurutnya, konsep itu juga memberi peluang kepada setiap Exco mempelajari pelbagai aspek pentadbiran kerajaan negeri sebagai persediaan menjadi pemimpin pada masa depan.

"Bukan tidak ada Exco Kanan, tetapi semua (yang dilantik itu) adalah Exco Kanan.

"Dulu jawatan Exco Kanan ketika saya mengambil alih jawatan Ketua Menteri pada pertengahan penggal dan kemudian dikekalkan, namun (pada penggal ini), tidak timbul lagi kerana semuanya (berstatus) Exco kanan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri di sini pada Khamis.

Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah sebagai Exco Melaka didahului ADUN Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh yang memegang portfolio Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital.

Turut mengangkat sumpah ialah Datuk Rais Yasin sebagai Exco Agama, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup, manakala Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dilantik sebagai Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Desa.

Selain itu, Datuk Fairul Nizam Roslan menyandang Exco Pelancongan, Warisan, Budaya dan Perpaduan; Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali (Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan TVET) serta Datuk Lim Ban Hong (Exco Kesihatan dan Modal Insan).

Turut dilantik ialah S Nadarajah sebagai Exco Belia, Sukan dan NGO; Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer (Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti); Datuk Khaidhirah Abu Zahar (Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat) serta Muhammad Ridzuan Mohd Sarif (Exco Pertanian, Alam Sekitar dan Pengurusan Bencana).

Sementara itu, Ab Rauf turut menyandang portfolio Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan, Tanah, Pelaburan dan Industri melengkapkan barisan 11 Exco Melaka secara keseluruhan.

Mengulas keyakinannya terhadap barisan Exco yang dilantik, Ab Rauf berkata, pemilihan dibuat berdasarkan keyakinan bahawa setiap individu mampu melaksanakan tanggungjawab diberikan.

Katanya, setiap anggota Exco perlu bersedia memikul tanggungjawab berbeza dan memahami selok-belok pentadbiran kerajaan negeri dan bukan hanya tertumpu kepada portfolio masing-masing.

"Ini tidak seperti dahulu apabila seseorang Exco hanya memegang jawatan dan tanggungjawab tertentu.

"Mereka perlu belajar semua perkara supaya dapat menjadi pemimpin pada masa depan dan memahami selok-belok pentadbiran kerajaan," ujar beliau.

Ab Rauf berkata, mesyuarat Exco yang pertama dijadualkan berlangsung pada minggu depan.

Sementara itu, Ab Rauf berkata, pelantikan penyelaras bagi empat DUN yang tidak dimenangi gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan diputuskan selepas perbincangan dalam mesyuarat.

Beliau turut memaklumkan ADUN Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN, manakala nama Speaker akan diumumkan kemudian.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved