
AYER KEROH – Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah jawatan dengan lima penyandang kekal sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Melaka hari ini.
Teka-teki barisan pentadbiran baharu negeri itu terjawab selepas istiadat mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd. Ali Mohd. Rustam di Seri Negeri, di sini hari ini.
Mendahului senarai, ADUN Merlimau yang juga Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, diikuti ADUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin; ADUN Telok Mas, Datuk Abd. Razak Abd. Rahman dan ADUN Asahan, Datuk Dr Fairul Nizam Roslan.
Ia diikuti ADUN Ayer Molek, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali; ADUN Klebang, Datuk Lim Ban Hong; ADUN Gadek, S. Nadarajah dan ADUN Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Turut mengangkat sumpah ialah ADUN Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar dan ADUN Bukit Katil, Muhammad Ridzuan Sarif.
Sejarah tercipta dengan pelantikan Muhammad Ridzuan apabila buat julung kalinya wakil Pas berada dalam barisan Exco Melaka.
Pelantikan itu menyaksikan lima penyandang EXCO dikekalkan iaitu Dr. Muhamad Akmal, Rais, Abd Razak, Fairul Nizam dan Hameed Mytheen, diikuti empat muka baharu iaitu Mohd Ridhwan, Nadarajah, Khaidirah dan Muhammad Ridzuan manakala satu lagi kembali menjawat jawatan berkenaan iaitu Ban Hong.
Pembentukan barisan EXCO itu juga menjadi langkah penting bagi merealisasikan 113 inisiatif yang digariskan dalam manifesto BN-PN, selain memastikan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat dapat dilaksanakan secara tersusun.
Pada PRN Melaka ke-16, Sabtu lalu, BN-PN memenangi 24 daripada 28 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh empat kerusi.
The post 10 ADUN angkat sumpah, Pas ada wakil kali pertama Exco Melaka appeared first on Kosmo Online.





