‘Semua ikut merit’ – JPT jawab isu Edward Wong ditolak program perakaunan UM

LocalPolitics
9 Sep 2025 • 10:51 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available
Seorang pelajar lelaki berwajah serius duduk di hadapan mikrofon, ditemani seorang tokoh lebih berusia di sebelahnya semasa sidang media.

image is not available

Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) tampil menjelaskan mengapa Edward Wong Yi Xian, pelajar cemerlang STPM dari Bukit Mertajam, tidak mendapat tempat dalam kursus Perakaunan di Universiti Malaya (UM) melalui laluan Unit Pusat Universiti (UPU).

Menurut JPT, Wong yang memperoleh CGPA 4.0 dan skor kokurikulum 99.9% berada pada kedudukan ke-1,129 daripada 2,291 pemohon yang layak ke UM. Bagaimanapun, hanya 85 tempat sahaja ditawarkan untuk kursus perakaunan tahun ini.

Wong akhirnya ditawarkan ke program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dengan Kepujian di sebuah universiti penyelidikan utama, iaitu pilihan kelimanya.

Baca juga:

Kedudukan di universiti lain

Selain UM, kedudukan Wong di universiti lain juga didedahkan JPT: Universiti Putra Malaysia (1,724/4,154, 100 tempat), Universiti Utara Malaysia (1,288/2,595, 350 tempat) dan Universiti Teknologi Malaysia (1,062/2,292, 55 tempat).

JPT menegaskan semua keputusan dibuat secara automatik oleh sistem UPUOnline berasaskan merit, tanpa campur tangan manusia. Dakwaan wujudnya kecacatan sistem sekali gus dinafikan.

“Calon ditawarkan program berdasarkan merit dan pilihan kursus, sama seperti pemohon lain,” jelas kenyataan itu.

JPT buka ruang rayuan

JPT turut memaklumkan semua pelajar STPM dengan keputusan 4.0 CGPA telah ditawarkan tempat di universiti awam. Daripada 1,255 pemohon berkelayakan, 1,249 sudah berjaya ditempatkan, manakala enam lagi masih menunggu pengesahan dokumen.

Untuk calon yang mahu mendapatkan penjelasan lanjut, kaunter rundingan rayuan UPUOnline dibuka di atrium Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya sehingga 12 September ini.

Kes Wong mula menarik perhatian selepas Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, mendakwa sistem UPU tidak adil. Beliau menyifatkan kegagalan Wong mendapat tempat di UM membuktikan kelemahan proses pengambilan pusat itu.

Walaupun tidak berjaya melalui laluan UPU, Wong akhirnya diterima masuk ke kursus perakaunan UM melalui pengambilan terbuka. Namun, yuran pengajian berjumlah RM83,800 jauh lebih tinggi berbanding RM8,300 jika diterima menerusi laluan UPU bersubsidi.