
KPT Perjelas Isu Pelajar STPM Tidak Dapat Tawaran Masuk UM
Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan seramai 78,883 calon lepasan Matrikulasi, STPM, Asasi, STAM, Diploma dan setaraf berjaya ditawarkan tempat ke Universiti Awam bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Muda melalui sistem UPUOnline®.
Jumlah itu adalah daripada 109,866 calon yang layak memohon. Proses pemilihan dibuat secara telus berasaskan prinsip meritokrasi, iaitu 90 peratus pencapaian akademik dan 10 peratus pencapaian kokurikulum.
Menurut JPT, setiap permohonan disaring melalui sistem UPUOnline® berdasarkan markah merit, syarat am dan syarat khas program, perakuan temu duga atau ujian, kekosongan tempat serta keutamaan pilihan calon.
Jaminan tempat untuk PNGK 4.00
KPT turut memberi jaminan bahawa semua calon STPM/Setaraf dengan PNGK 4.00 mendapat tempat di universiti awam.
Berdasarkan rekod, 1,255 calon lepasan STPM PNGK 4.00 memohon, dengan 1,249 calon telah berjaya ditawarkan tempat manakala baki 6 calon lagi akan ditawarkan selepas melengkapkan dokumentasi yang diperlukan.
Penjelasan kes aduan calon
Mengulas mengenai dakwaan seorang calon STPM yang membuat aduan melalui seorang Ahli Parlimen, JPT menjelaskan bahawa calon tersebut sebenarnya telah berjaya ditawarkan program Sarjana Muda Pengurusan Dengan Kepujian (Strategi & Organisasi/ Pemasaran/ Kewangan/ Operasi/ Perniagaan Antarabangsa/ Kewangan Islam/ Analitik Perniagaan).
Tawaran itu adalah di sebuah universiti penyelidikan terkemuka negara dan merupakan pilihan ke-5 yang dipohonnya sendiri.
Walaupun calon berkenaan memperoleh PNGK 4.00 dengan markah kokurikulum 9.90 (merit keseluruhan 99.90), ranking permohonannya dalam program-program perakaunan yang dimohon adalah seperti berikut:
i. UM – permohonan yang layak adalah 2,291 orang dengan seramai 1,127 orang memperoleh merit 100%. Calon berada di kedudukan 1,129 dan UM menyediakan 85 tempat untuk diisi.
ii. UPM – permohonan yang layak adalah 4,154 orang dengan seramai 1,718 orang memperoleh merit 100%. Calon berada di kedudukan 1,724 dan UPM menyediakan 100 tempat untuk diisi.
iii. UUM – permohonan yang layak adalah 2,595 orang dengan seramai 1,282 orang memperoleh merit 100%. Calon berada di kedudukan 1,288 dan UUM menyediakan 350 tempat untuk diisi.
iv. UTM – permohonan yang layak adalah 2,292 orang dengan seramai 1,060 orang memperoleh merit 100%. Calon berada di kedudukan 1,062 dan UTM menyediakan 55 tempat untuk diisi.
Sehubungan itu, JPT menegaskan bahawa tawaran tempat kepada calon berkenaan dibuat berdasarkan pencapaian merit dan keutamaan pilihan, sama seperti calon-calon lain.
“JPT ingin tegaskan bahawa semua keputusan UPUOnline® dijana oleh sistem berdasarkan pemarkahan merit yang ditetapkan mengikut kursus atau program yang dimohon sekali gus menolak dakwaan wujudnya kelompongan dalam sistem sedia ada.
“Pada masa sama, JPT terbuka untuk menerima sebarang pandangan dan penambahbaikan pada sistem sedia ada,” jelas JPT.
Rayuan UPUOnline® dibuka
Dalam pada itu, bagi calon yang tidak berjaya, kaunter konsultasi permohonan rayuan UPUOnline® dibuka sehingga 12 September 2025 di Ruang Legar, KPT, Putrajaya.
“Kaunter konsultasi permohonan rayuan UPUOnline® dibuka bagi calon yang ingin mendapatkan maklumat lanjut termasuk calon yang tidak berjaya di Ruang Legar, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya sehingga 12 September 2025,” maklum JPT.
Sumber: KPT
The post KPT Perjelas Isu Pelajar STPM Tidak Dapat Tawaran Masuk UM appeared first on Siakap Keli.
