Semua Juruterbang Malaysia Airlines Negatif Ujian Dadah - MAG

17 Aug 2026 • 2:41 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Semua Juruterbang Malaysia Airlines Negatif Ujian Dadah - MAG

KUALA LUMPUR - Semua juruterbang Malaysia Airlines disahkan negatif ujian dadah selepas menjalani saringan mandatori yang diwajibkan.

Presiden Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, keseluruhan proses saringan terhadap juruterbang syarikat penerbangan itu telah selesai pada 15 Ogos, selaras dengan tempoh masa ditetapkan sebelum ini.

Menurut beliau, penyelesaian saringan berkenaan merupakan sebahagian daripada langkah kumpulan itu untuk memperkukuh aspek keselamatan serta memastikan tahap kecergasan dan kesediaan bertugas dalam semua operasi MAG.

“Penyelesaian fasa pertama ini merupakan satu pencapaian penting dalam langkah-langkah yang telah ditetapkan kumpulan, namun usaha berkenaan akan diteruskan.

“Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap keputusan yang kami buat dan kami akan terus melaksanakan langkah-langkah yang diperlukan bagi memperkukuh perlindungan, mengekalkan standard operasi serta memastikan keyakinan penumpang dan pihak berkepentingan,” katanya hari ini.

Jelas Nasaruddin, MAG akan memasuki fasa seterusnya dengan menjalankan saringan terhadap 2,840 kru kabin Malaysia Airlines, yang akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 18 Ogos dan dijangka selesai pada 3 September.

“Saringan sama turut akan dikenakan terhadap juruterbang dan kru kabin syarikat penerbangan Firefly,” katanya.

Getaran difahamkan, lebih separuh daripada 158 juruterbang dan 163 kru kabin Firefly telah menjalani saringan setakat 15 Ogos, dengan semua keputusan yang diterima setakat ini menunjukkan keputusan negatif.

Firefly dijangka menyelesaikan saringan terhadap baki juruterbang dan kru kabinnya pada 25 Ogos, iaitu lebih awal daripada tarikh akhir 5 September yang ditetapkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Menurut Nasaruddin, MAG juga akan meneruskan program ujian dadah secara rawak sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kumpulan berkenaan untuk mencegah serta membanteras penyalahgunaan bahan terlarang dalam organisasi.

“Langkah-langkah diperkukuh ini melengkapi rangka kerja sedia ada MAG berkaitan kecergasan untuk bertugas, yang merangkumi saringan sebelum pengambilan pekerja, pemeriksaan kesihatan, latihan berkala serta ujian alkohol dan dadah secara berkala.

“Ia turut meliputi pemeriksaan pematuhan mandatori sebelum penerbangan serta penilaian tahap kecergasan kru,” katanya.

Tegas beliau, kumpulan itu kekal komited untuk mengekalkan standard keselamatan dan profesionalisme yang ketat di seluruh operasi syarikat penerbangannya.

“Kami juga akan memperkukuh langkah pencegahan bagi melindungi kebajikan pekerja, penumpang serta kelancaran operasi,” katanya. - Getaran, 17 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved