Semua juruterbang Malaysia Airlines selesai saringan dadah mandatori, MAG teruskan pemeriksaan 2,840 kru kabin

LocalHealth & Fitness
17 Aug 2026 • 2:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Semua juruterbang Malaysia Airlines selesai saringan dadah mandatori, MAG teruskan pemeriksaan 2,840 kru kabin Image from: Semua juruterbang Malaysia Airlines selesai saringan dadah mandatori, MAG teruskan pemeriksaan 2,840 kru kabin amree17/08/2026 - 14:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 OgosMalaysia Aviation Group (MAG) selesai menjalankan proses saringan dadah secara mandatori terhadap kesemua juruterbang syarikat Malaysia Airlines yang aktif bertugas.

 

Menurutnya dalam kenyataan, semua keputusan ujian didapati negatif, sekali gus memenuhi tarikh akhir 15 Ogos 2026 yang ditetapkan kumpulan itu sebagai sebahagian langkah keselamatan operasi penerbangan.

 

MAG turut menambah, selepas fasa pertama tersebut dapat diselesaikan, program saringan itu kini memasuki peringkat seterusnya yang membabitkan kira-kira 2,840 kru kabin Malaysia Airlines pula.

 

"Saringan terhadap kru kabin berkenaan akan bermula pada 18 Ogos 2026 dan dilaksanakan secara berperingkat, dengan keseluruhan proses disasarkan selesai pada 3 September 2026," jelasnya lagi.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A Bakar berkata, penyelesaian saringan juruterbang adalah pencapaian penting dalam langkah keselamatan dan kecergasan bertugas.

 

Beliau berkata, usaha itu tidak terhenti pada fasa pertama kerana MAG akan meneruskan saringan terhadap kumpulan operasi lain bagi memastikan piawaian keselamatan sama diterapkan konsisten.

 

Malaysia Aviation Group_DagangNews2026
Gambar hiasan

 

Sementara itu, saringan turut dilaksanakan di Firefly, melibatkan juruterbang dan kru kabin, dengan lebih separuh daripada 158 juruterbang dan 163 kru kabin menjalani ujian setakat 15 Ogos 2026.

 

"Semua keputusan juga negatif, manakala baki dijangka selesai pada 25 Ogos 2026, berbanding tarikh akhir 5 September 2026 yang ditetapkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM)," katanya.

 

Kumpulan itu akan mengekalkan program ujian rawak secara berterusan, selain meningkatkan kerjasama dengan pihak berkuasa bagi mencegah serta menghapuskan penyalahgunaan bahan dalam organisasi.

 

Langkah diperkukuhkan itu melengkapi rangka kerja sedia ada berkaitan kecergasan bertugas, termasuk saringan sebelum pengambilan pekerja, pensijilan perubatan, latihan berkala serta ujian alkohol.

 

Rangka kerja ini turut merangkumi pemeriksaan pematuhan wajib sebelum penerbangan dan penilaian kecergasan kru bagi memastikan anggota operasi memenuhi standard keselamatan yang ditetapkannya.

 

MAG menegaskan komitmen mengekalkan standard keselamatan dan profesionalisme, selain memperkukuh langkah pencegahan bagi melindungi kebajikan pekerja, penumpang serta keselamatan operasi. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved