Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) kini melaksanakan kaedah pembayaran nirtunai secara menyeluruh di semua kaunter JPJ di seluruh negara. Melaluinya, orang ramai boleh membuat bayaran dengan lebih mudah menggunakan aplikasi e-dompet seperti Touch ‘n Go, GrabPay, MAE dan Boost.

Pelaksanaan kaedah ini bermula dengan fasa ujian di JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun 2024 yang menunjukkan peningkatan positif dalam penggunaan transaksi nirtunai. Susulan kejayaan tersebut, JPJ memperluaskan pula pelaksanaannya secara berfasa ke seluruh Malaysia. Ia juga melibatkan pengaktifan sebanyak 1,183 unit terminal Electronic Data Capture (EDC) dan penggunaan aplikasi M-Device di semua kaunter JPJ.

Sehingga 24 Ogos 2025, JPJ telah merekodkan sebanyak 46.5 juta transaksi nirtunai melalui kaunter dan aplikasi MyJPJ dengan jumlah kutipan mencecah RM5.6 bilion. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 245,626 transaksi telah dilakukan melalui e-dompet yang melibatkan kutipan sebanyak RM19.6 juta.
Angka ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya sekali gus membuktikan keberkesanan pelaksanaan kaedah pembayaran nirtunai melalui e-dompet.

