
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sekitar 8.30 malam semalam (29 Januari), semua Presiden parti komponen Perikatan Nasional (PN) hadir di kediaman Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur bagi suatu pertemuan.
Memetik laporan media, pemimpin parti komponen yang hadir ke rumah Muhyiddin ialah Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan dan Presiden Gerakan, Dominic Lau.
Kelibat Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, bagaimanapun tidak kelihatan di perjumpaan tersebut dan sebab ketidakhadirannya tidak dinyatakan.
Sumber dalaman PN berkata, ketiadaan pemimpin parti PAS itu seolah-olah memberi petanda parti itu ke arah keluar dari PN, lapor Berita Harian.
Katanya lagi, pertemuan itu dibuat atas jemputan Muhyiddin dan dikatakan sebagai perbincangan ‘pra-majlis’ susulan pembatalan Mesyuarat Majlis Tertinggi PN malam semalam (29 Januari).
Perbincangan Dalaman Babitkan 4 Pemimpin Parti Komponen
Ketika ditemui di luar kediaman itu, Punithan berkata pertemuan tersebut sekadar perbincangan dalaman yang membabitkan keempat-empat pemimpin parti komponen dalam gabungan itu.
“Mesyuarat Majlis Tertinggi PN sudah dibatalkan jadi hari ini kita buat perbincangan bersama dengan (semua) presiden parti (dalam PN).
“Ia hanya membincangkan langkah ke hadapan untuk PN. Ia hanya satu perbincangan dengan presiden-presiden parti (dalam PN),” katanya
Menurut Harian Metro pula, Punithan menafikan berlakunya konflik dalaman, sebaliknya hubungan antara semua parti komponen kekal utuh, malah semangat setiakawan tetap diutamakan.
“Semua okay, PN stabil dan steady. PAS tak ada tak apa, tapi kita akan bincangkan (hasil perbincangan malam ini dengan PAS). Tak adalah (pergolakan dengan PAS), we are all good in discussion (perbincangan antara semua parti komponen lancar). Selepas ini kita akan jumpa PAS, jadi memang tidak ada petanda buruk (perpecahan PN), we are all standing for the next general election (kita tetap akan bersama untuk hadapi pilihan raya seterusnya).”
Presiden MIPP, P Punithan
Mesyuarat Awal Sebelum Persidangan Majlis Tertinggi PN
Difahamkan pertemuan itu adalah mesyuarat awal bagi ‘menentukan hala tuju’ sebelum Majlis Tertinggi PN bersidang.
Muhyiddin memaklumkan perjumpaan itu perlu diadakan sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan itu berlangsung.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, turut mengesahkan mesyuarat awal itu diadakan sebelum persidangan Majlis Tertinggi PN bagi mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN serta melantik penggantinya.
Terdahulu, Muhyiddin telah mempengerusikan perjumpaan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) siang semalam (29 Januari) yang turut tidak dihadiri mana-mana pemimpin PAS.
